comscore
Tumpuan :
Nasional

Seorang maut, tiga parah termasuk bayi dalam nahas jalan raya

Foto: Ihsan IPD Alor Gajah

ALOR GAJAH: Seorang operator kilang maut selepas kereta dipandunya terbabas lalu merempuh sebuah kereta lain di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Rembia, di sini, hari ini.

Nahas berlaku kira-kira jam 7 malam membabitkan kereta Perodua Bezza dipandu Mohammad Ariffin Abdullah Thani,33, dengan Proton Saga dinaiki tiga sekeluarga termasuk bayi perempuan berusia tujuh bulan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, Mohammad Ariffin disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah (HAG), sementara tiga mangsa lain dirawat di Hospital Melaka (HM).

Beliau berkata, hasil siasatan awal pemandu Perodua Bezza itu berseorangan dari Melaka menghala ke Alor Gajah, manakala Proton Saga itu dipandu jururawat, Nursyahida Assyura Mohamad Nor,30, bersama adiknya perempuannya, Nursyahadah Assyura,24, dan bayinya, Aisy Maleeqa Muhammad Nur Hafiz dari menuju ke Melaka dari Alor Gajah.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati ia jalan dua lorong dua hala mempunyai pembahagi jalan, berselekoh dan menurun bukit.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Bezza yang tiba di tempat kejadian terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Saga.

“Akibat kemalangan itu Mohammad Ariffin parah di kepala dan dibawa ke HAG, manakala pemandu serta penumpang Proton Saga turut cedera dan dibawa ke HM.

“Namun, pada jam 9.07 malam tadi Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah menerima panggilan telefon dari Unit Kecemasan Hospital Alor Gajah memaklumkan pemandu Bezza disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Mengulas lanjut Ashari berkata, Nursyahida Assyura yang bertugas di Hospital Cyberjaya Bersama bayinya, parah di kepala dan dirawat di zon merah HM, manakala adiknya Nursyahadah Assyura mengalami kecederaan pada anggota badan dan dirawat di zon kuning.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat berkaitan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini