comscore
Tumpuan :
Nasional

Seorang melecur, 12 motosikal rosak dihempap dinding

Keadaan bahagian luar rumah di Tingkat 10, Blok 4, Apartment Desa Tun Razak, Kuala Lumpur, akibat letupan kebakaran, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba

Kuala Lumpur: Seorang lelaki melecur, manakala 12 motosikal rosak dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Apartment Desa Tun Razak, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.59 malam tadi.

“Seramai 16 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi serta BBP Bandar Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kebakaran di sebuah rumah tingkat 10 Blok 4 apartment berkenaan dipercayai berpunca akibat kebocoran gas yang menyebabkan berlaku letupan.

“Letupan terbabit turut membabitkan dua rumah yang terletak berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, terdapat seorang mangsa iaitu lelaki berusia 32 tahun melecur kira-kira 30 peratus.

“Mangsa terbabit kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Canselor Tuanku Muhriz dan dilaporkan berada di zon merah jabatan kecemasan hospital berkenaan.

ANTARA motosikal yang rosak akibat dihempap dinding dari bahagian dapur rumah berkenaan yang meletup dan runtuh sebelum jatuh di kawasan terbabit. FOTO Ihsan Bomba

“Terdapat 12 motosikal juga rosak akibat kebakaran itu kerana dihempap dinding dari bahagian dapur rumah berkenaan yang meletup runtuh sebelum jatuh dan mengenai motosikal di kawasan terbabit.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini