comscore
Tumpuan :
Nasional

Seorang nelayan selamat, 1 masih hilang dalam kejadian bot terbalik

Maritim Selangor masih meneruskan Op CARILAMAT untuk mengesan Mohd Fazil Paijan, nelayan yang masih hilang di laut. – Foto ihsan Maritim Selangor

SHAH ALAM: Seorang nelayan selamat, manakala seorang lagi masih hilang apabila bot dinaiki mereka terbalik selepas dipukul ombak akibat cuaca buruk di kedudukan 1.8 batu nautika barat Pantai Acheh Pulau Indah, Pelabuhan Klang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, difahamkan dua nelayan berkenaan keluar ke laut menggunakan bot gentian kaca pada jam 8 pagi dan tidak memakai jaket keselamatan.

Katanya, mangsa Arnizam Ibrahim, 43, selamat kerana sempat berpaut pada bot sebelum diselamatkan bot pilot pelabuhan (TEGUH 2) manakala sepupunya Mohd Fazil Paijan, 36, dilaporkan masih hilang.

“Sebaik menerima laporan kehilangan mangsa, Maritim Malaysia mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) pada jam 5 petang semalam dan ditangguhkan pada jam 7.30 malam berikutan cuaca buruk serta keadaan gelap yang menyukarkan pencarian.

“Maritim Negeri Selangor membuka Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di Jeti Marina Pulau Indah bagi menyelaraskan usaha OP CARILAMAT di sektor pencarian.

“OP CARILAMAT hari kedua diteruskan pada hari ini bermula jam 7 pagi dengan pertambahan lima aset dari pelbagai agensi seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebuah pesawat PDRM AW 139 (PGU) meliputi radius sektor pencarian 102 batu nautika persegi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin turut menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan sentiasa menitik beratkan faktor keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Dalam perkembangan lain, Maritim Selangor menahan sebuah bot dengan 10 penumpang di kedudukan 0.8 batu nautika barat Tanjung Harapan pada jam 12.30 tengah hari Sabtu lalu.

Abdul Muhaimin berkata, penahanan bot penumpang itu dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP EHSAN dan OP TIRIS di perairan Selangor.

“Pemeriksaan awal mendapati bot itu dikendalikan seorang nakhoda dan seorang kru bertindak mengambil 10 penumpang dari kapal dagang yang bersauh untuk di bawa ke jeti penumpang Pulau Ketam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, nakhoda itu gagal mengemukakan sijil insuran yang sah selain turut membawa 50 karton rokok tanpa kebenaran.

“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk rokok tanpa dokumen yang sah,” katanya.

Beliau berkata, bot bersama penumpang yang terdiri daripada empat warga Filipina, lima warga China dan seorang warga Taiwan serta nakhoda dan kru dalam lingkungan umur 25 hingga 59 tahun itu dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini