comscore
Tumpuan :
Nasional

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: 500 hadiri solat jenazah dua anggota terkorban

Datuk Seri Saifuddin Nasution bersama Tan Sri Razarudin turut serta solat jenazah anggota polis Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor. FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Kira-kira 500 anggota polis, kenalan dan waris menunaikan solat jenazah dua anggota polis yang terkorban dalam tragedi serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram, pagi tadi.

Solat jenazah Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said diadakan di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor, bermula jam 10.40 pagi tadi.

Solat jenazah diketuai oleh Imam Daerah Johor Bahru, Mohd Nazri Ali.

Turut sama mendirikan solat jenazah ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Afandi Senin.

FOTO: NSTP

Sebelum itu, warga IPK Johor beramai-ramai memenuhi ruang masjid seawal jam 9 pagi untuk bacaan Yassin dan tahlil yang turut disertai bapa Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi iaitu Azhar Khaiden, 54.

Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar akan dikebumikan di Bidor, Perak manakala jenazah Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said akan dikebumikan di Gambang, Kuantan, Pahang.

Terdahulu, Saifuddin memberi jaminan kebajikan keluarga anggota terkorban akan dijaga sebaiknya, pada sidang media yang diadakan tadi.

“Polis Johor telah mengadakan persiapan sepenuhnya dari sudut pertama memaklumkan insiden kepada keluarga. Kedua, menyelesaikan mengatur urusan penghantaran ke hospital bagi tujuan post mortem.

“Seterusnya membuat persiapan solat jenazah dan akan diselesaikan sehingga jenazah dihantar ke kampung halaman di Perak dan Pahang, selepas solat jenazah selesai nanti,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini