comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Sewaktu Nabil hendak solat Subuh, isteri maklumkan dia mengalami kekejangan’ – Ibu

Allahyarham Nabil (kanan, berdiri) di sebelah bapanya, Zamanhuri bersama keluarga pada Aidilfitri lalu. FOTO:  Nabil Mentor / Instagram

RINGKASAN BERITA

  • Allahyarham Nabil Zamanhuri yang meninggal dunia hari ini, dikatakan mengalami kekejangan ketika hendak menunaikan solat Subuh pagi tadi.
  • Ibu Allahyarham juga berkata, “Sebelum ini, arwah ada mengadu sakit sikit-sikit termasuk di bahagian perut sejak dua atau tiga bulan lalu. Tapi, perkara itu datang pada masa tertentu sahaja.”

AMPANG: Ibu kepada Allahyarham Nabil Mentor, 37, memberitahu, anaknya mula menunjukkan tanda kurang sihat ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh, pagi tadi.

Fatimah Abdullah berkata, arwah Nabil mengalami kekejangan ketika sedang menunggu isterinya, Adelia Citra Hapsari selesai mengambil wuduk di bilik air.

“Sewaktu Nabil hendak solat subuh, isteri maklumkan keadaannya sudah mula nampak tidak baik dan mengalami kekejangan. Jadi, Adelia terus hubungi saya.

“Ketika sedang bercakap, saya ada dengar suara Nabil yang seolah-olah sudah nazak. Kemudiannya, kami terus hubungi ambulans dan arwah dibawa ke hospital dalam masa 30 minit kemudian.

“Kalau diikutkan arwah disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang, jam 9.15 pagi tadi, namun keadaannya sudah mula merosot sejak di rumah,” katanya ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Ampang, hari ini.

Mengulas mengenai punca kematian, Fatimah berkata, dia bersama ahli keluarga lain masih menanti keputusan daripada unit forensik.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga cahaya mata itu menjelaskan, arwah pernah mengadu sakit di bahagian perut sejak beberapa bulan lalu, namun tidak pasti punca sebenar di sebaliknya.

“Kalau diikutkan, arwah memang sihat dan tidak ada masalah kesihatan yang kritikal. Arwah juga selalu aktif terutama ketika bekerja. Kadang-kadang sampai lewat malam, jadi dia pun selalu lambat tidur.

“Sebelum ini, arwah ada mengadu sakit sikit-sikit termasuk di bahagian perut sejak dua atau tiga bulan lalu. Tapi, perkara itu datang pada masa tertentu sahaja. Jadi, sekarang kami tengah tunggu ‘post-mortem’ daripada unit forensik,” katanya.

Ditanya mengenai perilaku arwah sejak kebelakangan ini, Fatimah berkata, dia dimaklumkan oleh rakan-rakan arwah bahawa dia dilihat mula menjadi ‘pendiam’.

“Kawan-kawan cakap, arwah banyak berdiam. Tapi, saya tak nampak apa-apa sebab arwah masih berborak dengan saya.

“Tapi, saya pernah terdetik bagaimana kalau Nabil sudah tiada nanti. Saya berfikir apa akan jadi dan siapa akan jaga anak-anak yang masih kecil.

“Saya tak tahu kenapa boleh terfikir sebegitu, macam tiba-tiba sahaja ia datang,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Nabil yang juga naib juara program realiti, Mentor musim pertama, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Bukit Indah, Ampang, dekat sini, pagi tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini