comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Shivaani teruja dapat kembali ke sekolah Mac ini

SEREMBAN: Keluarga kepada kanak-kanak perempuan 10 tahun R.Shivaani, berasa gembira apabila anak tunggal keluarga itu dapat kembali ke sekolah bagi sesi tahun ini, setelah setahun tidak bersekolah susulan isu status kewarganegaraan.

Bapanya P. Rajheswaran, 44, ketika ditemui berkata beliau berterima kasih dengan Kementerian Pendidikan (KPM), yang prihatin dalam menyelesaikan isu persekolahan anaknya itu.

Shivaani,10, membuat persediaan untuk sesi persekolahan akan datang setelah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan(JPNS) memaklumkan yang dia boleh kembali ke sekolah. – FOTO: NSTP

Rajheswaran yang menghidap strok berkata selepas ini, beliau perlu menguruskan dokumen kewarganegaraan anaknya itu dengan bantuan daripada Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Bersatu, bagi memastikan masa depan yang lebih terjamin pada masa akan datang.

“Terima kasih kerajaan menyelesaikan masalah persekolahan anak, Shivaani sangat teruja apabila dapat tahu sudah boleh ke sekolah. Sebelum ini dia bersekolah dari darjah satu hingga darjah tiga, tetapi sesi tahun lepas dia tidak dapat ke sekolah,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Senawang.

Rajheswaran berkata dalam tempoh setahun anaknya tidak bersekolah, Shivaani hanya belajar menulis dan membaca bersama ibu saudaranya P.Logeswari, 43, di rumah.

Shivaani, murid Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pagi, Senawang itu berkata beliau sangat teruja dapat kembali bertemu rakan-rakan di sekolah serta guru, pada sesi persekolahan Mac ini dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya.

P Rajheswaran, 44, menunjukkan surat maklum balas Kementerian Pendidikan Malaysia berkenaan isu persekolahan anaknya, Shivaani,10, yang sebelum ini menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dibenarkan meneruskan persekolahan baru-baru ini. –  FOTO: NSTP

“Saya sangat gembira akhirnya dapat ke sekolah, saya teruja mahu bertemu kawan-kawan nanti, nama kawan baik saya Adam. Cita-cita saya mahu menjadi anggota polis, di sekolah subjek paling diminati matematik,” katanya.

Sebelum ini, Shivaani dilaporkan telah menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meminta pertolongan, supaya dia dibenarkan meneruskan persekolahan.

Beliau dipercayai tidak dapat meneruskan persekolahan kerana isu dokumentasi kewarganegaraan, berikutan ibu bapanya tidak mendaftar perkahwinan yang kemudian bercerai pada 2013.

Kemudian KPM telah mengadakan pertemuan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) pada 28 Dis lepas itu, bertujuan mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan murid berkenaan meneruskan persekolahan seperti biasa.

Sementara itu Pengarah JPNS, Dr Roslan Hussin berkata isu mengenai pelajar tersebut telah selesai dan pihaknya juga membantu Shivaani untuk bertukar ke sekolah berhampiran tempat tinggalnya.

“Perkara ini sudah selesai, kita beri bagi ruang untuk Shivaani untuk meneruskan pembelajaran, dalam masa sama keluarganya perlu menguruskan tentang dokumen pengenalan diri dengan JPN,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini