comscore
Tumpuan :
Nasional

Bomba guna dron kesan lelaki dikhuatiri lemas 

Anggota JBPM Terengganu menggunakan dron dalam misi mencari dan menyelamat seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika bermain ombak di Pantai Batu Burok hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri menerbangkan dron dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Baru Burok, di sini, hari ini.

Komandan Operasi JBPM Kuala Terengganu, Baharum Mohammad Hasim berkata, dua bot peronda termasuk daripada Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim (MARITIM) turut digunakan untuk mengesan kedudukan mangsa dikenali, Zulkarnain Mohamed Zubir, 44.

Bagaimanapun, katanya, pencarian menggunakan bot dan dron terpaksa dihentikan jam 7 malam, tetapi operasi mengesan melalui pantai akan terus dilakukan sehingga mangsa ditemui.

“Pegawai dan anggota daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut dikerah melakukan pencarian selepas menerima laporan mengenai kejadian itu, kira-kira jam 11.31 pagi tadi.

“Berdasarkan pergerakan arus, mangsa akan dihanyutkan ke sebelah kiri muara sungai Terengganu,” katanya ketika ditemui di Pantai Baru Burok, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pagi tadi, Zulkarnain Mohamed dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika bermain ombak di Pantai Batu Burok, kira-kira jam 11.20 pagi tadi.

Isteri mangsa, Nora Elina Abdul Khalil, 44, dari Petaling Jaya, bersama dua anak perempuannya ketika itu sedang bermain pasir di pantai berkenaan.

Nora Elina dan Zulkarnain Mohamed serta dua anak perempuan mereka berusia antara 9 dan 11 tahun bercuti ke negeri ini dan mendaftar masuk di sebuah hotel di Batu Burok, Jumaat lalu dan dijangka mendaftar keluar esok.

Mengulas lanjut, Baharum Mohammad berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa akan diteruskan melalui rondaan di tepi pantai sejauh kira-kira tiga kilometer ke sebelah pantai Chendering.

Katanya, JBPM negeri tidak boleh menggunakan bot gentian kaca untuk mencari dan menyelamat berikutan ombak setinggi satu dan dua meter.

“Pegawai dan anggota PPDA juga tidak boleh melakukan penyelaman berikutan arus air di dasar yang terlalu kuat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini