comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] “Siasatan 1MDB diklasifikasi NFA walaupun ada banyak bukti” – Zeti

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, walaupun bukti terlalu banyak dikumpul dan direkodkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai penyelewengan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Peguam Negara memutuskan kertas siasatan diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata Peguam Negara ketika itu Tan Sri Mohamed Apandi Ali membuat keputusan berkenaan pada 11 September 2015, atas sebab yang tidak diketahui.

Zeti berkata, pada 13 Ogos 2015, BNM menyerahkan Kertas Siasatan (IP) kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dengan syor untuk memulakan pendakwaan jenayah dan mendakwa 1MDB termasuk pegawai kanan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Beliau yang membacakan pernyataan saksinya, berkata 1MDB dan pegawainya didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) kerana memberikan maklumat palsu kepada BNM dalam permohonannya bagi kebenaran membuat pembayaran di luar negara.

Zeti berkata, berdasarkan aturan pertukaran maklumat dalam kalangan pihak berkuasa asing, BNM menerima pendedahan secara sulit bertarikh 13 Mac 2015, membabitkan entiti asing yang memindahkan sejumlah besar dana kepada entiti yang dimiliki secara benefisial oleh Low Taek Jho atau Jho Low.

Beliau berkata, pada 20 Mac 2015, BNM memulakan pemeriksaan ke atas AmBank dan Deutsche Bank Malaysia Berhad (DBMB) untuk mengesahkan dakwaan bahawa 1MDB memindahkan AS$700 juta daripada dana AS$1 bilion kepada sebuah syarikat milik persendirian.

Katanya, wang itu diperuntukkan bagi pemerolehan 40 peratus saham dalam 1MDB Petrosaudi Limited dan British Virgin Island (JV Co.), begitu juga dana 1MDB lain ke akaun Good Star Limited (GSL) dan bukannya ke akaun JV Co.

“Berikutan kelulusan penghantaran dana untuk pelaburan itu, sejumlah AS$700 juta daripada dana berkenaan sebaliknya dikeluarkan daripada 1MDB ke akaun Good Star Limited (GSL) melalui Deutsche Bank.

“Hanya ketika pemeriksaan dibuat, adalah disahkan bahawa dana yang dibayar kepada Good Star Limited adalah dimiliki oleh Jho Low,” katanya.

Zeti berkata, pada 21 April 2015, beliau bertemu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Tan Sri Abu Kassim Mohamed untuk mendedahkan penemuan itu termasuk maklumat yang mengesahkan bahawa Low pemilik benefisial akaun GSL yang menerima AS$700 juta daripada 1MDB pada 30 September 2009.

Katanya, pada 9 Jun 2015, Peguam Negara (AG) ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail mengadakan mesyuarat Pasukan Petugas 1MDB pertama bagi membincangkan siasatan SPRM dan BNM mengenai 1MDB.

Bagaimanapun, katanya pada 27 Julai, tahun yang sama, pasukan petugas itu ditamatkan apabila perkhidmatan Abdul Gani berakhir.

Loading...
Terkini