comscore
Tumpuan :
Nasional

Siasatan lanjut kematian anggota TUDM dilakukan unit forensik polis

gambar hiasan

TAMPIN: Siasatan lanjut berhubung kejadian seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut selepas bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini, hari ini akan dijalankan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, laporan mengenai kematian pelatih ketika Latihan Bom Grenade itu diterima pihaknya jam 12.45 tengah hari tadi.

“Dalam kejadian ini seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala Duajurulatih mengalami kecederaan parah.

“Kedua-dua mangsa yang cedera parah diberi rawatan awal di Hospital Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin Gemas dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Segamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dengan bantuan daripada pasukan forensik IPK Negeri Sembilan yang turut berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan dan mengenalpasti punca sebenar kejadian.

“Setakat ini siasatan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Terdahulu media melaporkan seorang anggota TUDM maut selepas bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, hari ini.

Difahamkan dua jurulatih lagi parah dalam kejadian jam 12 tengah hari ketika mereka menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di tapak latihan kem terbabit.

Loading...
Terkini