comscore
Tumpuan :
Nasional

Sibuk kerja sehingga lupa baharui cukai jalan Ferrari 

Kereta jenis Ferrari 488 Spider yang ditahan di Lebuhraya Guthrie Khamis lalu kerana cukai jalan tamat tempoh. – Foto: JPJ Selangor

SHAH ALAM: `Sibuk kerja dan lupa’. Itu alasan diberikan pemandu kereta Ferrari 488 Spider ketika ditahan di Lebuhraya Guthrie dekat sini, Khamis lalu atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, kesalahan itu dikesan menerusi operasi harian  oleh Stesen Penguatkuasa (SPK) Elmina JPJ Selangor.

“Pemandu lelaki berusia 30 tahun itu ditahan dan pemeriksaan lanjut mendapati LKM kereta terbabit telah tamat tempoh.

“Alasan yang diberi pemandu terbabit ialah kesibukan kerja dan lupa,” katanya seperti dilapor Sinar Harian .

Katanya, operasi rondaan turut diadakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

Kata Khairul Khar, sebanyak 126 kesalahan dikesan antaranya lesen memandu kompeten (CDL) (21 kes), lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (19 kes), tiada perlindungan insurans (19 kes) serta teknikal (54 kes).

“Pasukan operasi turut bertindak menyita enam motosikal jenis Honda EX5 atas pelbagai kesalahan,” ujarnya.

Tambahnya, SPK Elmina sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan  berterusan ke atas semua jenis kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

“Sebarang aduan kesalahan lalul intas, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” jelasnya.

Loading...
Terkini