comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bayar ‘online’ lesen memandu, cukai jalan: MyJPJ masih di fasa ujian – Anthony Loke 

GEORGETOWN: Aplikasi MyJPJ yang akan membolehkan pembayaran secara dalam talian bagi lesen memandu dan cukai jalan masih di peringkat ujian sebelum dijangka dilaksanakan beberapa bulan lagi.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke, berkata ia akan diumumkan selepas pelaksanaan Bukit Konsep (POC) mengenainya selesai.

Ini kerana pihaknya mahu memastikan sistem aplikasi MyJPJ berupaya untuk menampung trafik digital dan tidak ranap setelah dilancarkan kelak.

“Dalam beberapa bulan lagi, kami akan lancarkan sistem pembayaran secara online ini melalui aplikasi MyJPJ,” katanya kepada media selepas majlis pecah tanah pembinaan bangunan baharu Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang, di sini hari ini.

Beliau turut berkata pelancaran mod paparan digital iaitu Lesen Kenderaan Motor digital (e-LKM) dan Lesen Memandu Malaysia digital (e-LMM) pada 10 Februari lalu bertujuan mengurangkan kesesakan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Memandangkan ia akan mengambil masa bagi rakyat menyesuaikan diri, maka permohonan lesen dan cukai jalan secara digital atau fizikal atau kedua-duanya sekali masih diadakan,” katanya.

Mengenai video tular dua warga Malaysia yang disaman di Thailand semalam, beliau berkata  penggunaan lesen digital hanya berkuat kuasa di negara ini dan pihaknya tidak mempunyai bidang kuasa dalam menentukan cara pelaksanaan penguatkuasaan pengangkutan dan undang-undang di negara lain.

“Kami sudah nyatakan tiada pemberhentian pemberian lesen fizikal kepada pemandu, jadi kalau mereka memandu di luar negara di mana negara itu perlukan lesen fizikal, maka mereka boleh mengambil lesen fizikal daripada JPJ masa perbaharui lesen,” katanya.

Media tempatan melaporkan dua warga Malaysia yang menunggang motosikal di sebuah daerah di Thailand disaman setelah menunjukkan lesen memandu digital ketika ditahan penguat kuasa negara itu.

Loading...
Terkini