comscore
Tumpuan :
Nasional

Sidang Parlimen bermula hari ini, status kerusi 6 MP BERSATU jadi tumpuan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Status kerusi disandang enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dikosongkan atau tidak, dijangka jadi tumpuan sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini.

Dijangkakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan memberi penjelasan, menjawab persoalan sama ada Ahli Parlimen Bukit Gantang, Labuan, Jeli, Gua Musang, Kuala Kangsar dan Tanjong Karang perlu mengosongkan kerusi seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Pada 19 Jun lalu, media melaporkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi Nenggiri kosong di luar jangka selepas DUN pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Notis bertulis diterima daripada seorang ADUN Kelantan dan BERSATU mengenai kehilangan keahlian parti membabitkan penyandang kerusi, Mohd Azizi Abu Naim yang juga Ahli Parlimen Gua Musang.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pada 28 Jun ini bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya kecil di kerusi berkenaan.

BERSATU diwakili Naib Presidennya yang juga Ketua Whip di Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, pada Khamis lalu mengemukakan notis kepada Johari, meminta supaya enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.

 

Status kerusi 6 MP BERSATU antara tumpuan sidang Parlimen bermula hari ini. – Foto fail NSTP

 

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Dewan Rakyat yang akan bersidang sehingga 18 Julai depan juga dijangka mendengar usul akan dikemukakan kerajaan, iaitu untuk merujuk Ahli Parlimen BERSATU Tasek Gelugor, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat di laman web Parlimen, usul itu berkait kenyataan dibuat Wan Saiful pada 28 Februari dan 21 Mac lalu, mendakwa pertuduhan kes mahkamah yang dikenakan terhadapnya boleh dibatal dan digugurkan.

Dalam usul dijangka dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, kenyataan Wan Saiful dilihat secara tersirat mendakwa ada individu kononnya bertindak bagi kerajaan boleh memanipulasi untuk membatal atau mengugur pertuduhan kes mahkamah terhadap beliau.

Perbuatan itu, menurut usul berkenaan, menunjukkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor menyebut perkara sedang dalam timbangan mahkamah dan boleh dianggap merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara dalam kes berkenaan.

Justeru, usul berkenaan menjelaskan, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen akan membuat penentuan sama ada kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengelirukan Dewan serta merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara dalam kes terbabit.

Jawatankuasa itu juga akan membuat penentuan sama ada mengambil apa-apa keterangan yang difikirkan perlu dan selepas itu, membuat syor dalam satu penyata untuk pertimbangan Dewan Rakyat.

Selain itu, isu harga barang susulan keputusan kerajaan mengapungkan harga diesel akan turut disentuh dalam sesi soal jawab, selain komitmen dasar luar Malaysia mengenai ‘two-state solutions’ atau penyelesaian dua negara bagi mempertahankan kedaulatan rakyat Palestin di Gaza.

Kementerian Kesihatan (KKM) pula dijadual membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) berkaitan isu ‘parallel pathway’ atau latihan ijazah lanjutan kepakaran.

Isu itu jadi tumpuan selepas Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardiotoraks, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.

Ia berikutan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraks untuk disenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan kerana ‘Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery’ (FRCS Ed) yang diperoleh mereka tidak diiktiraf.

Selain itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dijadual membentangkan dua pembubaran dan pindaan RUU, iaitu RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 dan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024.

RUU lain yang dijadual dibahaskan merangkumi RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024, RUU Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024 serta RUU Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024.

RUU Majlis Media Malaysia (MMC) dijangka tidak dibentang pada persidangan kali ini kerana masih dalam proses analisis impak serta masih di peringkat perbincangan dan libat urus dalam kalangan organisasi media, syarikat berkaitan serta persatuan pengamal media.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini