comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket seludup petrol, diesel subsidi beralih ke pantai timur

Salahuddin (dua dari kanan) membantu mengisi petrol tidak bersubsidi ke dalam sebuah lori kontena berpendaftaran Thailand yang tiba di stesen minyak tidak bersubsidi di Kawasan Perindustrian Kampung Kolam, Padang Besar. Foto NSTP

Padang Besar: Kenderaan milik sindiket penyeludupan minyak bersubsidi dari negara jiran kini beralih ke stesen minyak di negeri di pantai timur untuk menjalankan kegiatan mereka.

Ini berikutan tindakan membuka lebih banyak stesen minyak tidak bersubsidi di lokasi berkenaan telah memaksa mereka angkat kaki.

Malah, stesen minyak di sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis yang ‘dipenuhi’ penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut menjadi pendorong ‘penghijrahan’ mereka.

Ketika mendedahkan perkara itu, Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sindiket dari negara jiran itu mengalihkan haluan mereka ke pantai timur kerana tidak banyak stesen minyak tidak bersubsidi didirikan di negeri berkenaan.

“Berdasarkan maklumat anggota kita (KPDN), lori dan pacuan empat roda yang didaftarkan di Thailand mula beralih untuk mengisi minyak bersubsidi di stesen minyak di sekitar kawasan sempadan antarabangsa negara di sebelah pantai timur.

“Jadi, saya melihat, jika kita buka lebih banyak stesen minyak tidak bersubsidi di kawasan pantai timur, maka itu adalah jalan penyelesaian terbaik dan sekurang-kurangnya kerugian sebanyak RM150 juta setahun itu (ketirisan subsidi) dapat diatasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Projek Rintis Pembekalan Minyak RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi di Perlis di sebuah stesen minyak tidak bersubsidi di Kawasan Perindustrian Kampung Kolam di sini, hari ini.

“Saya akan mencadangkan kepada kerajaan supaya lebih banyak stesen minyak tidak bersubsidi dibuka di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, kawasan sempadan Malaysia-Singapura di Johor Bahru, Johor selain kawasan sempadan Malaysia-Indonesia di Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.

Menurut beliau, langkah memperluaskan lebih banyak stesen minyak tidak bersubsidi dilihat lebih ekonomi dan praktikal malah dapat menyelamatkan ketirisan subsidi negara.

“Ini adalah suatu kaedah atau pendekatan ekonomi yang praktikal dan global. Ia juga menyelamatkan ketirisan subsidi kerana masih memberikan keuntungan kepada kerajaan dan jika betul caranya, saya rasa kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) juga boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang 2022, KPDN merekodkan 43 tangkapan kes membabitkan penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi di Perlis dengan jumlah rampasan RM100,611.

“Melalui langkah ini, setiap kenderaan berpendaftaran asing boleh mendapatkan bekalan petrol dan diesel di stesen minyak komersil dengan harga komersil serta tanpa subsidi,” katanya.

Pada masa sama, menurut beliau, projek rintis di Perlis ini akan dijalankan untuk tiga bulan bermula awal Februari hingga April ini.

Ia bagi menilai keberkesanan program ini sebelum diperluaskan ke negeri yang mempunyai sempadan antarabangsa seperti Kedah, Perak, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini