comscore
Tumpuan :
Nasional

Sistem ‘autogate’ KLIA dibuka kepada warga asing

Penggunaan sistem pagar automatik (autogate) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

SEPANG: Berkuat kuasa hari ini, penggunaan sistem pagar automatik (autogate) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sebelum ini terhad kepada rakyat tempatan, kini dibuka kepada warga asing yang memegang pas lawatan jangka panjang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ketika mengumumkan perkara itu berkata, langkah inovatif dan proaktif berkenaan dijangka dapat membantu mengurangkan kesesakan di KLIA.

“Kemudahan ‘autogate’ kepada pemegang pas jangka panjang telah dilaksanakan secara rintis di KLIA mulai 16 September lalu. Sepanjang tempoh projek itu, seramai 1,910 pemegang pas jangka panjang telah menggunakan kemudahan ini tanpa sebarang masalah,” katanya selepas melancarkan kemudahan ‘autogate’ untuk warga asing di sini, hari ini.

Beliau berkata, kemudahan tersebut dijangka memanfaatkan 1,860,963 pemegang pas lawatan kerja sementara (PLKS) dan pemegang pas lawatan jangka panjang pelbagai kategori.

Mereka terdiri daripada 1,366,387 pemegang PLKS; 169,263 pas pasangan kepada warganegara; 68,012 pas pelajar; 14,046 pas residen dan 52,932 peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Ia turut memanfaatkan 12,335 pas lawatan ikhtisas (PLIK); 9,345 tanggungan pas lawatan sosial (PLS); 91,198 pas penggajian dan 77,445 lain-lain pas di bawah seliaan Bahagian Khidmat Ekspatriat.

“Kemudahan ini diperluas setelah mendapat kelulusan secara dasar daripada Menteri Dalam Negeri. Ia dibuat bertujuan memudahkan lagi urusan kemasukan warga asing, di samping mempercepatkan lagi urusan pemeriksaan ke atas semua kategori lain iaitu mereka yang masuk menggunakan pas lawatan pelancong buat masa ini, masih perlu melalui kaunter Imigresen. Hanya mereka yang memegang pas jangka panjang akan diasingkan daripada pemeriksaan di kaunter,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Khairul Dzaimee berkata, kemudahan ‘autogate’ itu boleh digunakan warga asing yang mempunyai pasport mengandungi cip dan mematuhi standard penetapan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Selain itu, ia boleh digunakan sekiranya pas jangka panjang masih sah dan diperbaharui setiap tahun. Namun, sekiranya mereka pemegang pas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), mereka tidak dibenarkan menggunakan kemudahan ini,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Imigresen sedang mengkaji kemudahan pagar automatik seterusnya kepada warga Singapura yang memegang pas sosial di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.

“Kajian sedang dibuat bersama pihak vendor mengenai perkara ini. Perubahan kecil sebenarnya perlu dibuat untuk membolehkan cip dibaca oleh sistem Imigresen negara ini. Mungkin sekitar Disember kemudahan ini boleh digunakan kerana ia dijangka bantu sektor perniagaan,” katanya.

Loading...
Terkini