comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

SMK Mahsuri gali telaga tiub tangani masalah air

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri, Abdul Razak Jusoh (empat dari kanan) diiringi Pengetua SMK Mahsuri, Arif Fadzilah Ali (enam dari kiri) merasmikan telaga tiub yang siap digali di pekarangan sekolah itu. – FOTO: NSTP

LANGKAWI: Kesulitan dihadapi 1,750 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri akibat masalah air akhirnya selesai apabila projek telaga tiub bernilai RM20,000 siap dibina, hari ini.

Kejayaan projek itu menjadikan SMK Mahsuri muncul sekolah pertama daripada 29 sekolah di daerah ini menggunakan telaga tiub bagi menangani krisis bekalan air bersih yang semakin kritikal di pulau ini sejak bulan lalu.

Majlis perasmian projek itu disempurnakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Abdul Razak Jusoh di tapak projek yang letaknya dalam pekarangan sekolah berkenaan.

Ketika ditemui, Abdul Razak berkata secara keseluruhan projek telaga tiub yang siap dibina dalam tempoh dua hari itu bernilai RM20,000 hasil sumbangan wakaf orang ramai, khususnya waris pelajar, guru dan penderma.

“Krisis air di sekolah ini semakin serius sejak awal bulan ini susulan musim kemarau dan fenomena El Nino dengan sekolah semakin kerap tidak menerima bekalan air menjadikan banyak aktiviti pelajar dan guru terjejas,” katanya.

Tambah Abdul Razak, pada masa sama pihaknya berharap Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dapat menyediakan pelan sokongan.

Sementara itu, Pengetua SMK Mahsuri, Arif Fadzilah Ali berkata krisis bekalan air yang kerap melanda sekolah itu menyebabkan jumlah pelajar yang tinggal di asrama semakin berkurangan hari demi hari.

“Rekod terakhir menunjukkan hanya 60 pelajar tinggal di asrama, berbanding kapasiti optimum 170 orang. Kita ada asrama, tapi pelajar tidak mahu tinggal di asrama menjadi satu kerugian,” katanya.

Tambah Arif Fadzilah, selesai kerja menggali telaga tiub, fokus ditumpukan kepada kerja pemasangan tangki dan sistem penapisan air serta kerja perpaipan bagi menyalurkan air ke asrama pelajar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini