comscore
Tumpuan :
Nasional

Hujan berlarutan, air laut pasang sebabkan air sungai keruh

Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK)

ALOR SETAR: Keadaan air laut pasang serta hujan yang berlarutan menyebabkan bekalan air mentah di sungai akan terus keruh dan tidak dapat disalurkan kepada pengguna di Kulim.

Pengarah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Syed Amaluddin Hafeez Syed Musa berkata, buat masa ini kekeruhan air itu akan terurai sendiri sehingga hujan kembali reda.

“Perkara seperti ini adalah kejadian alam. Kita tak boleh kawal hujan nak lebat atau akan berhenti. Hujan lebat di hulu menyebabkan air membawa lumpur di sekitar tebing sungai maka terjadilah kekeruhan air sungai yang ekstrem.

“Sehingga kini, loji rawatan air (LRA) Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) tak boleh proses air mentah kerana mereka perlu guna bahan kimia yang banyak dan boleh membahayakan pengguna,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khamis lalu, media melaporkan lebih 20,000 akaun pengguna di daerah Kulim mengalami gangguan bekalan air disebabkan LRA Sungai Ular terpaksa dihenti tugas serta-merta berikutan kadar kekeruhan air mentah di sungai yang tinggi.

SADA dalam satu kenyataan memaklumkan, lebih 50 kawasan perumahan dan kampung terjejas termasuk institusi pengajian.

Kenyataan itu berkata, SADA sudah memohon penjelasan insiden berkenaan kepada LSANK yang menjadi entiti bertanggungjawab mengawal selia hal berkaitan sumber air.

Katanya, bagi mengurangkan beban pengguna yang terjejas, tindakan segera melalui penghantaran lori tangki air secara berjadual dan penempatan tangki statik sedang dilaksanakan pada masa ini.

Syed Amaluddin Hafeez berkata, terdapat kaedah untuk mengalirkan air keruh namun ia memerlukan pelepasan air dari Empangan Beris dan Empangan Muda.

Bagaimanapun, katanya, kaedah itu akan menyebabkan simpanan air mentah terpaksa digunakan dan bimbang akan berlaku pembaziran.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini