comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM sudah kesan pegawai tertinggi kes rasuah RM1 juta daftar nikah di Perlis

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai tertinggi agensi kerajaan disyaki antara yang menerima suapan berjumlah lebih RM1 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak 2022.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, berkata individu terbabit sudah dikesan pihaknya dan kini bertugas di negeri lain.

“Kita sedang menyiapkan siasatan dan beliau antara yang akan dicadangkan untuk pertimbangan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi pertuduhan (mahkamah).

“Setakat ini seramai tiga pegawai jabatan agama ditahan dan seorang lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya ditemui pemberita di Balai Berita NSTP, hari ini.

Pada 5 Jun lalu, tiga individu termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan imam sebuah masjid di Kangar, dilaporkan ditahan SPRM bagi membantu siasatan penerimaan suapan berjumlah RM1.183 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak April 2022 sehingga Jun tahun lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 25 hingga 52 tahun, ditahan di beberapa lokasi sekitar Kangar sudah direman dan dibebaskan dengan jaminan, semalam.

Mengulas lanjut, Azam berkata, siasatan mendapati pegawai mengenakan caj tambahan yang lebih tinggi daripada kos sebenar terhadap individu berpoligami yang mendaftarkan pernikahan di negeri itu.

“Apa saya tahu untuk membuka fail pendaftaran pernikahan adalah RM750 tapi siasatan kita mendapati pasangan dikenakan caj RM2,500 sehingga RM6,000.

“Jadi sudah ada ‘extra money’ daripada yuran ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Perlis. Ini yang kita sedang siasat,” katanya.

Katanya, setakat ini terdapat lebih 1,000 fail pasangan yang mendaftar pernikahan di negeri itu dan beliau sudah mengarahkan pegawai SPRM Perlis untuk memanggil semua mereka bagi membantu siasatan kes penerimaan suapan berkenaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan aktiviti berkenaan berlaku sudah sekian lama berdasarkan jumlah fail yang diterima.

Kata beliau, SPRM memandang serius isu rasuah itu kerana membabitkan jabatan agama dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini