comscore
Tumpuan :
Nasional

SQ 321: Tiga penumpang warga Malaysia dirawat di ICU, stabil

BANGKOK: Tiga penumpang penerbangan SQ321 Singapore Airlines (SIA) yang merupakan rakyat Malaysia kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) tetapi tiada yang berada dalam keadaan kritikal.

Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata, beliau dimaklumkan walaupun keadaan mereka tidak sehingga mengancam nyawa, mereka perlu dipantau rapi di ICU kerana mengalami kecederaan di kepala dan belakang.

“Tiga yang berada di ICU dalam keadaan sedar dan boleh bercakap sementara keadaan mereka dipantau doktor. Enam lagi rakyat Malaysia yang juga dimasukkan ke wad kerana pening kepala dan kecederaan ringan berada dalam keadaan stabil sambil dipantau juga oleh doktor, ” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang dimasukkan ke hospital berusia antara 31 hingga 65 tahun, dengan enam dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan tiga lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.

Beliau berkata, pihak kedutaan komited untuk memantau keadaan mereka dan sedia untuk menyediakan bantuan yang diperlukan.

Pesawat SIA penerbangan SQ321 membawa 211 penumpang dan 18 kru itu sedang dalam penerbangan dari London ke Singapura apabila ia mengalami gelora udara yang ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter, kira-kira 10 jam selepas berlepas.
Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok dan mendarat pada pukul 3.45 petang waktu tempatan, pada Selasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

Seorang penumpang maut dan ramai tercedera dalam insiden itu. Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Kittipong Kittikachorn berkata pada Selasa mangsa yang maut itu adalah seorang lelaki warga British berusia 73 tahun.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini