comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Suami undur kereta langgar isteri sehingga maut

 

KULIM: Seorang isteri maut selepas kereta dipandu suaminya terlanggar mangsa di Taman Selasih, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata dalam kejadian jam 7 petang itu, kereta Proton Saga yang dipandu suami mangsa berusia 60-an terlanggar isterinya sebelum melanggar sebuah kereta Perodua Myvi yang sedang parkir di hadapan rumah.

Kereta Proton Saga yang dipandu lelaki terlanggar isterinya yang sedang berjalan kaki ketika mengundur kenderaan di Taman Selasih. – FOTO: Ihsan Pembaca

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika isteri mangsa keluar dari kereta berkenaan kerana tertinggal barang di dalam rumah.

“Suami mangsa yang ketika itu mengundur kereta berkenaan tertekan pedal minyak lalu terlanggar isterinya yang berada di tepi sebelah kiri dan terlanggar kereta yang parkir di hadapan rumah,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Mohd Redzuan berkata, pemandu kereta Proton Saga itu tidak cedera manakala isterinya yang mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim.

“Pemandu kereta itu mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah tempoh. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Loading...
Terkini