comscore
Tumpuan :
Nasional

Sukan instrumen penyatuan Malaysia Madani

Penaung Puspanita, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

KAJANG: Sukan merupakan instrumen terbaik untuk perpaduan rakyat dan platform penyatuan Malaysia Madani yang merupakan satu daripada fokus Kerajaan Perpaduan hari ini, kata Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata apabila tibanya acara sukan utama yang melibatkan Malaysia seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel, bola sepak dan badminton, rakyat berbilang kaum dan agama dapat dilihat bersama-sama memberikan sorakan dan tepukan semangat kepada para atlet negara.

“Saya yakin bahawa kekuatan utama sukan adalah mencetuskan rasa kekitaan dan semangat berpasukan yang kukuh dalam kalangan atlet dan juga penyokong,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Sukan Tahunan Puspanita 2023 di sini hari ini.

Karnival sukan yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lepas bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya budaya bersukan dalam kalangan peserta bagi mewujudkan masyarakat yang cergas, aktif dan sihat selain diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan Puspanita.

Karnival tersebut turut mempertandingkan lapan acara olahraga, bola jaring, futsal dan bola tampar dan berjaya mengumpulkan kira-kira 2,000 ahli Puspanita.

Isteri perdana menteri itu turut menyeru Puspanita turun padang melaksanakan program dan aktiviti di peringkat komuniti, terutamanya program yang melibatkan kumpulan sasar seperti keluarga, wanita dan kanak-kanak kerana ahli Puspanita juga merupakan ejen kerajaan dalam mendekati komuniti dan sebagai contohnya, aktiviti sukan komuniti bersama wanita dan kanak-kanak boleh dilaksanakan.

“Selain itu, tumpuan dan usaha juga perlu diberikan dalam memastikan anak-anak kita dapat membesar dengan sihat. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019 turut menyatakan satu daripada lima kanak-kanak bawah lima tahun mengalami masalah bantut,” katanya.

Dr Wan Azizah turut menyeru agar semua wanita di negara ini menitikberatkan faktor kesihatan dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti persekitaran agar dapat menjalani kehidupan yang sihat dan berkualiti.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada Puspanita atas pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program yang telah membantu meningkatkan kesejahteraan ahli, wanita dan masyarakat,” katanya.

Karnival sukan itu juga menyaksikan Puspanita cawangan Kementerian Komunikasi dan Digital muncul johan perbarisan manakala johan keseluruhan acara olahraga dirangkul oleh Kementerian Pertahanan. -BERNAMA

Loading...
Terkini