comscore
Tumpuan :
Nasional

Sukar perangi TB jika hanya ada 41 pakar perubatan pernafasan 

KUALA LUMPUR: Dengan hanya ada 41 pakar perubatan pernafasan di negara ini ketika ini, akan membantutkan usaha Malaysia mencapai sasaran ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membasmi penyakit berjangkit Tuberkulosis atau tibi menjelang 2035.

Kekurangan pakar perubatan pernafasan menyaksikan perlunya untuk menambah lebih banyak pakar bagi merawat pesakit yang menghidap TB tahan dadah iaitu penyakit yang lebih teruk berbanding TB biasa kerana mereka perlu menjalani pemantauan dan rawatan yang lebih panjang.

 

Ketua Jabatan Respiratori di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Dr Arvindran Alaga, berkata pakar yang sama turut perlu merawat penyakit lain termasuk pesakit yang mengalami asma teruk, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) atau penyakit paru-paru kronik dan fibrosis pulmonari idiopatik (IPF).

Lapor FMT, Dr Arvindran berharap supaya kos ujian dan rawatan TB di peringkat global dikaji semula supaya lebih ramai masyarakat mendapat manfaat untuk menerima rawatan berkenaan.

Gesaan sama disuarakan Presiden Persatuan Perubatan (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai bahawa kerajaan melatih lebih ramai pengamal am supaya ia dapat mengesan penyakit itu lebih awal, seterusnya mengurangkan penyakit itu daripada terus merebak.

Bagaimanapun, Dr Muruga berkata peruntukan dana juga diperlukan untuk melatih lebih ramai pakar perubatan pernafasan serta menjalankan lebih banyak penyelidikan dan memastikan bekalan ubat mencukupi bagi merawat penyakit berkenaan.

“Pandemik COVID-19 turut menghalang daripada mengesan penyakit itu, di negara ini terdapat penurunan pengesanan kes sebanyak 10 peratus, selain itu peruntukan dana dan sumber yang menguruskan penyakit itu juga terjejas kerana belanjawan banyak diberikan kepada pengurusan wabak berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, 2,572 kematian tibi direkodkan tahun lalu, meningkat 12 peratus atau 284 kes berbanding 2021.

Dalam kenyataan sempena Hari Tibi Sedunia, Dr Zaliha berkata 25,391 kes penyakit berkenaan dilaporkan  tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 3,664 atau 17 peratus berbanding 21,727 kes, sepanjang tempoh sama tahun sebelumnya.

“WHO menganggarkan kadar insiden tibi bagi Malaysia adalah 97 bagi setiap 100 ribu penduduk. Namun kadar insiden yang dilaporkan di negara ini adalah lebih rendah berbanding sasaran WHO tersebut,” katanya.

Loading...
Terkini