comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Pahang kurnia 26 lembu untuk korban

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.

Baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan paduka anakanda.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 8.25 pagi disambut oleh pemimpin dan pegawai kanan kerajaan negeri Pahang.

Solat sunat Aidiladha dipimpin Imam Masjid Negeri, Datuk Ahmad Faizul Ghazali al-Hafiz dan khutbah bertajuk “Hikmah Ibadah Haji Dan Korban” disampaikan Mufti Pahang, Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim.

Baginda kemudian berkenan menyaksikan ibadah korban yang berlangsung di pekarangan masjid.

Sempena sambutan Aidiladha tahun ini, Baginda dan keluarga berkenaan mengurniakan 26 lembu untuk dikorbankan.

Kurniaan haiwan ternakan untuk ibadah korban itu diagihkan di masjid dan surau di seluruh negeri termasuk enam lembu dihantar ke Pulau Tioman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini