comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Selangor berkenan rasmi Sambutan Hari Warga Emas Sedunia

Oleh: Aslina Abu Bakar

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2023 dan Kempen Sihat Milik Selangor 3.0 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, hari ini.

Turut berkenan berangkat mengiringi baginda, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.

Baginda tiba jam 10:50 pagi disambut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sani.

Lukanisman dalam ucapannya di majlis itu berkata Malaysia bakal mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk berumur 60 tahun dan ke atas.

Menurut Jabatan Perangkaan Negara, pada tahun 2022, Selangor mempunyai penduduk berusia 60 tahun dan ke atas tertinggi di Malaysia, iaitu sebanyak 11.5 peratus berpunca daripada penurunan kadar kelahiran, perkhidmatan kesihatan yang semakin baik dan peningkatan purata jangka hayat daripada 66 kepada 76 tahun dalam tempoh 10 tahun.

“Kajian daripada World Bank Group tahun 2020 menunjukkan tidak semua warga emas di Malaysia menua dengan sihat berikutan peningkatan beban penyakit kronik seiring dengan pertambahan jangka hayat.

“ Ini terbukti dengan hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (National Health and Morbidity Survey, NHMS) 2018 yang menunjukan sebanyak 50 peratus warga emas menghidap hipertensi dan hiperlipidemia, manakala sebanyak 28 peratus pula menghidap kencing manis,” katanya.

Sehubungan itu, KKM komited terhadap Dasar Kesihatan Warga Emas Negara yang dibangunkan untuk membina warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimakan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara.

“Dalam usaha untuk menggalakan pembudayaan hidup sihat, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan Kempen Sihat Milik Selangor (SMS) yang merupakan satu program outreach untuk komuniti di negeri Selangor yang bertemakan ‘Rakyat Sejahtera Selangor Ceria’.

“Kempen ini dirangka khusus bagi melaksanakan sambutan hari-hari khas kesihatan secara bersepadu dengan bermatlamatkan untuk memberi kesedaran masyarakat mengenai isu-isu kesihatan seterusnya mencapai tahap kesihatan yang optima,”katanya.

Usai perasmian, Baginda dan Permaisuri berkenan menyaksikan persembahan Khas Kelab Warga Emas Klinik Panda Maran, Pejabat Kesihatan Klang sebelum melawat tapak pameran.

Loading...
Terkini