comscore
Tumpuan :
Dunia

Korea Selatan gantung lesen dua doktor cetus mogok

FOTO: Reuters

SEOUL: Korea Selatan menggantung lesen perubatan dua doktor dalam tindakan punitif pertama ke atas mogok selama sebulan yang menyebabkan gangguan dalam khidmat kesihatan negara itu.

Dua pegawai dari Persatuan Perubatan Korea (KMA), dimaklumkan lesen mereka terpaksa digantung tiga bulan kerana mencetus mogok.

Menurut jurucakap KMA, Lee Seok Young, kedua-dua pegawai itu, masing-masing Kim Taek-Woo dan Park Myung-Ha menerima notis itu pada Selasa.

Jurucakap Kementerian Kesihatan memaklumkan, kerajaan tidak akan memberi pengesahan mengenai tindakan pentadbiran khusus yang diambil terhadap petugas berkenaan.

KMA sebelum ini menuduh kerajaan menggunakan taktik campur tangan sebagai cubaan memaksa golongan professional itu kembali bertugas, sekaligus menyifatkan ia mengubah negara itu menjadi ‘totalitarian’.

Di bawah undang-undang negara terbabit, golongan doktor dilarang melakukan atau terlibat dengan mogok.

Justeru, kerajaan meminta polis menyiasat individu di sebalik peletakan jawatan beramai-ramai termasuk pegawai di KMA.

Timbalan Menteri Kesihatan, Park Min Soo berkata, kerajaan amat kesal dengan keadaan semasa, apabila kelompok profesor juga mempertimbangkan perletakan jawatan mengikut jejak doktor pelatih.

Katanya, kerajaan mengulangi kesediaan untuk berbincang dengan komuniti perubatan bila-bila masa tanpa syarat meskipun Seoul menekankan, meninggalkan pelan pembaharuan bukan satu pilihan.

Kerajaan mendesak untuk memasukkan 2,000 lagi pelajar ke sekolah perubatan setiap tahun mulai tahun depan bagi menangani nisbah doktor kepada penduduk terendah dalam kalangan negara maju.

Beribu-ribu doktor pelatih berhenti kerja pada 20 Februari lalu bagi membantah reformasi berkenaan, memaksa banyak pusat perubatan membatalkan rawatan dan pembedahan penting termasuk kemoterapi dan Caesarean.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini