comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sultan Selangor harap semua negeri anggotai MKI secara rasmi

 

SHAH ALAM :  Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan harapan negeri-negeri yang belum menganggotai Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dapat menganggotai platform musyawarah majlis itu secara rasmi.

Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi MKI bertitah walaupun telah banyak kejayaan dicapai melalui rundingan di platform MKI, masih terdapat pelbagai perkara  belum selesai yang memerlukan penglibatan semua ahli-ahli mesyuarat mencetuskan idea dan buah fikiran bernas.

Titah baginda, MKI adalah sebuah institusi yang mendapat perkenan Majlis Raja-Raja bukan sahaja dari segi penubuhan, malah dari segi keahliannya.

Foto : Anwar Ibrahim / Facebook

“Keanggotaan utama dalam MKI adalah daripada wakil negeri-negeri yang memainkan peranan yang amat penting di dalam menyelaras hal ehwal Islam,” titah baginda pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi Majlis itu.

Dalam perkembangan lain, baginda dukacita kerana masih ada pihak membangkitkan pandangan secara terbuka berkaitan beberapa isu sensitif yang seharusnya dibincang melalui forum MKI, seperti pertikaian kaedah rukyah dalam menetapkan tarikh permulaan Ramadan serta menentukan anak bulan Syawal.

“Beta berasa dukacita dengan perkembangan ini, kerana walaupun mereka menyatakan tujuannya adalah untuk menegakkan hujah, tapi kenapa sampai menimbulkan keraguan tentang kearifan para mufti yang memahami ilmu falak dan mengambil keputusan yang tidak bertepatan dengan apa yang telah dipersetujui.

“Ini sudah tentunya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam yang akhirnya boleh mengundang kepada perpecahan,” titah baginda.

Foto : Anwar Ibrahim / Facebook

Justeru, bagi mengelak kekeliruan pada masa akan datang, baginda mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan   ketetapan muktamad berkaitan kaedah penentuan tarikh permulaan Ramadan serta menentukan anak bulan Syawal melalui ruqyah dan hisab.

Jakim turut dicadang menyediakan kertas kerja bagi membuat dasar dan prosedur komprehensif bagi pendaftaran institusi tahfiz swasta dan persendirian untuk diguna pakai di setiap negeri. – BERNAMA

Loading...
Terkini