comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Selangor mahu golongan profesional perkasakan MBDK

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan agar separuh daripada Ahli Majlis dalam Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) terdiri dalam kalangan golongan profesional.

Baginda berpandangan, bukan sahaja ahli politik, golongan profesional yang pakar dalam bidang tertentu juga diperlukan di dalam pembangunan sesebuah bandar.

“Jika boleh beta cadangkan jumlah golongan profesional perlulah sekurang-kurangnya memenuhi 50 peratus dari jumlah keseluruhan ahli majlis.

“Di samping itu, ahli-ahli majlis juga perlu menggambarkan komposisi kaum dan populasi sesuatu kaum yang menetap di Bandaraya Klang agar semua kaum dapat diwakili oleh wakil mereka mengikut jumlah yang berpadanan dengan jumlah sesuatu kaum,” titah baginda.

Demikian titah baginda selepas menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang di Hotel Wyndham, di sini semalam.

Turut hadir mengiringi baginda, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Baginda juga mengingatkan kepada ahli-ahli majlis, Datuk Bandar dan juga kakitangan MBDK agar sentiasa memberikan perkhidmatan dengan penuh dedikasi dan berintegriti.

“Jauhilah dari segala perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu.

“Tuan-tuan semua kena turun ke padang bagi mendekatkan diri dan melihat sendiri masalah rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

“Amalkanlah pendekatan berbincang dan bertindak segera tanpa perlu menunggu aduan dibuat baru mahu bertindak,” titahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini