comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Summer Bay Resort dikompaun RM25,000 anjur parti liar


KUALA TERENGGANU: Pengusaha Summer Bay Resort Pulau Lang Tengah dikenakan kompaun RM25,000 oleh kerajaan Negeri Terengganu hari ini kerana menganjurkan parti liar.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, pengusaha resort di pulau peranginan itu didapati telah melanggar Undang-Undang Subseksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan.

“Apabila kita melihat pembentangan yang dibuat oleh pihak Summer Bay sebentar tadi dan Summer Bay telah melanggar satu undang-undang subseksyen 6(1) enakmen hiburan dan tempat-tempat hiburan yang mana boleh dikompaun sebanyak RM25,000 dan hari ni kita bincang dan putuskan mengkompaunkan Summer Baysebanyak RM25,000.

Datuk Razali Idris berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha resort terbabit di Wisma Darul Iman, pagi tadi.

Pertemuan itu akan turut melibatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Berikutan itu, pihak kerajaan negeri bercadang untuk menggubal semula Subseksyen 6(1) untuk menaikkan kadar denda maksimum sebanyak RM50,000 sebagai pengajaran kepada semua pengusaha resort di pulau peranginan dan kepada individu yang menganjurkan parti liar tanpa permit yang sah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah, pihaknya dengan kerjasama pihak berkuasa lain akan membuat pemantauan berterusan di semua pulau peranginan di negeri itu selepas ini supaya kejadian seumpamanya tidak berulang.

“Kerajaan melalui PBT akan bermula dari sekarang akan memantau perjalanan aktiviti semua resort yang ada di Terengganu supaya mematuhi peraturan dan enakmen yang telah kita tetapkan.

“Dan hukuman atau kompaun yang telah dipersetujui itu adalah kompaun maksimum dan kita tidak menolak untuk membuat kajian kepada enakmen ini sekiranya kita merasakan kompaun ini perlu dinaikkan dan sekarang ini maksimum RM25 ribu dan kita akan bincang sekiranya kompaun ini tidak bagi satu kegerunan kepada pengusaha resort melanggar peraturan dan undang-undang, kita akan meningkatkan lagi kompaun sehingga boleh memberikan pengajaran kepada pengusaha resort supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan Negeri Terengganu”, katanya.

Dalam perkembangan lain, pihaknya mengesahkan pengusaha resort terbabit telah menganjurkan parti itu setiap tahun sejak 2015.

Pengusaha Summer Bay Resort, Datuk Chong Fah Ming ketika ditemui turut membuat permohonan maaf atas kecuaian pihaknya menganjurkan parti itu.

“Sebab itu saya cakap pada kerajaan negeri, jika kita ada buat silap kita mintak maaf kalau kita tak buat silap kita sambunglah apa kerajaan nak kita ikutlah.

“Saya ahil perniagaan dan tak mahu langgar syarat dan undang-undang serta tidak mahu terlibat dengan isu-isu politik, saya tak berminat”, ujarnya.

Pengusaha resort itu menjelaskan, parti yang dianjurkan hanya untuk tetamu yang menginap di situ dan bebas alkohol.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini