comscore
Tumpuan :
Nasional

Sungai Lipis lepasi paras amaran, mohon pindah awal sebaik terima arahan – APM

Sungai Lipis, Pahang.

KUANTAN: Paras air Sungai Lipis di Benta melepasi paras amaran manakala tiga lagi sungai di Lipis melepasi paras waspada setakat jam 9.30 pagi ini.

Menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Lipis merekodkan bacaan 74.48 meter (m) iaitu melepasi paras amaran 74 m.

Tiga sungai yang melepasi bacaan paras waspada ialah di Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera; Sungai Jempol di Rancangan Felda Jengka, Maran dan Sungai Belat di Sri Damai, di sini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan semalam, mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada sehingga esok, di beberapa kawasan di daerah ini.

Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi jabatan, aplikasi mobile myCuaca dan laman media sosial rasmi METMalaysia.

Sementara itu, penduduk di Pahang yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihat berpindah awal terutama sebaik menerima arahan daripada agensi penyelamat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata langkah itu untuk memastikan keselamatan susulan Monsun Timur Laut (MTL).

Katanya, apabila mendapat maklumat awal daripada METMalaysia yang memaklumkan hujan lebat, penduduk yang berisiko perlu berpindah segera ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Begitu juga maklumat daripada Pejabat Daerah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk memastikan keselamatan penduduk.

“Mereka perlu sentiasa peka. Berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 856 PPS disediakan di seluruh Pahang,” katanya.

Loading...
Terkini