comscore
Tumpuan :
Nasional

Suri rumah tuai 3.5kg padi di ‘Mini Bendang’

Oleh: Izzatie Rizan

SEREMBAN: “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

Meskipun tinggal di bandar, seorang suri rumah di Taman Lavender Height, Seremban berjaya membuktikan penanaman padi melalui pasu boleh membuahkan hasil.

Hobi yang dimulakan Siti Aai Shah Rahman Shah 33, sekadar cuba-cuba, tidak disangka-sangka dapat mengutip hasil padi seberat 3.4 kilogram yang ditanam di halaman rumahnya itu.

Berkongsi kepada Buletin TV3, Aai Shah berkata dia mula menanam padi pasu berkenaan sejak Februari lalu.

Merupakan percubaan kali pertama bekas usahawan ini, dua jenis padi dipilih iaitu padi huma dan sawah yang ditanamnya di dalam kira-kira 60 buah pasu.

Menurut Aai Shah, dia banyak membuat carian penanaman padi di dalam pasu melalui internet sebelum membeli benih padi di platform beli-belah dalam talian.

“Melalui perkongsian di media sosial, saya lihat tanaman padi di dalam pasu atau polly beg ini banyak dilakukan di negara jiran, Indonesia.

“Saya terfikir jika mereka boleh buat… kenapa kita tak boleh sedangkan cuaca semua sama, bermula dari situ saya mula belajar menanamnya, yang tak disangka-sangka menjadi.

“Bila dah suri rumah sepenuh masa ini, setiap hari saya melihat perkembangannya yang dah jadi misi harian saya”katanya.

Ujar pemegang diploma Pengurusan Pentadbiran Islam ini, dirinya teruja apabila melihat prosesnya lagi-lagi pada hari ke-20 pokok padi sudah jelas kelihatan.

“Memang tak nafikan pelbagai stigma negatif saya terima pada awalnya, ada yang cakap membazir, buang masa, mengarut termasuk ada saranan daripada buat kerja macam ini lebih baik beli beras.

“Namun saya pekakkan telinga, sebab kalau kita nak dengar apa orang cakap sampai bila-bila pun kita tak mencuba yang rupa-rupanya penanaman padi ini taklah sesusah yang disangka,” katanya lagi.

Selain padi, ibu lima anak ini turut menanam cili, keledek, kangkung, bendi, anggur serta  Raspberry sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Perkongsiannya di media sosial menjadi ‘pesawah moden’ turut menarik perhatian Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang berhasrat mempelajarinya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini