comscore
Tumpuan :
Nasional

Suspek serang, bunuh 2 anggota di Balai Polis Ulu Tiram sah ahli JI – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika sidang media selepas meninjau lokasi kejadian dua anggota polis ditembak,satu anggota cedera dan seorang suspek meninggal dunia di Balai Polis Ulu Tiram, Johor – Foto: NSTP

RINGKASAN BERITA

  • Polis sahkan, suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi adalah anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
  • Serbuan polis di rumah suspek membawa kepada penahanan lima ahli keluarganya yang dipercayai anggota serpihan JI, berusia antara 15 hingga 62 tahun.

JOHOR BAHRU: Suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi disahkan anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek yang dipercayai berusia 34 tahun itu berjaya ditembak mati di lokasi kejadian.

Katanya, polis kemudian menyerbu rumah keluarga lelaki berkenaan di Ulu Tiram dan pemeriksaan mendapati ada beberapa maklumat berkait kumpulan JI di kediaman berkenaan.

“Susulan itu kesemua lima ahli keluarga suspek yang dipercayai anggota serpihan JI ditahan untuk siasatan lanjut. Mereka berusia antara 15 tahun hingga 62 tahun,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Dalam serangan jam 2.54 pagi itu, dua anggota polis dilaporkan terbunuh, manakala seorang lagi cedera, manakala suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan, ditembak mati di lokasi.

Dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital sama.

Difahamkan, suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata. Dia kemudian melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.

Loading...
Terkini