comscore
Tumpuan :
Nasional

Syarikat pengendali lebuh raya diarah buat persediaan rapi

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Syarikat pengendali lebuh raya diarah membuat persediaan rapi menghadapi penambahan trafik sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi satu kenyataan memberitahu, ia bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan raya selepas mereka menjangkakan peningkatan trafik di tiga lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya KL- Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 yang dijangka akan meningkat sehingga 2.3 juta kenderaan sehari.

“Semua syarikat konsesi lebuh raya diminta menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaran yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya bermula 18 April hingga 7 Mei.” kata LLM menerusi kenyataan mereka.

Syarikat konsesi turut diarah mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu pengguna merancang perjalanan.

Selain itu, mereka turut diarah menyediakan papan tanda eletronik (VMS) bagi memaparkan maklumat trafik selain mengingatkan pengguna mengenai baki Touch N Go ataupun e-Wallet mereka.

“Syarikat-syarikat Konsesi diminta menempatkan petugas di plaza-plaza tol untuk membantu pengguna di dalam memastikan kelancaran pergerakan trafik semasa inisiatif tol percuma berkuatkuasa.

Mereka juga harus memastikan semua sistem dan operasi di plaza tol berjalan lancar bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain penambahan lorong tol di beberapa plaza tol yang dikenalpasti mempunyai trafik yang tinggi” katanya lagi.

Tambahnya, syarikat-syarikat konsesi diminta menggunakan bahu jalan sebagai lorong tambahan di lokasi yang telah dikenalpasti agar aliran trafik lebih lancar terutamanya di kawasan-kawasan hotspot kesesakan dan kawasan mendaki dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Syarikat Konsesi juga hendaklah menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) yang secukupnya bagi mempercepat tempoh tindakan menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya.

“Mereka juga perlu menyediakan kemudahan tambahan bagi tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa kawasan rehat dan rawat (RnR).”

Dalam kenyataan sama, LLM turut menyambut baik pelaksanakan inisiatif tol percuma sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyambut baik pengumuman Kerajaan melaksanakan inisiatif tol percuma pada 19 – 21 April 2023 dan 24 April 2023 ini bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.”

Loading...
Terkini