comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] “Syukur dapat bersama dia pada saat akhir” – isteri Allahyarham Pyanhabib

HULU KELANG: Isteri Allahyarham Pyanhabib, Zurina Zakaria, 58, bersyukur dapat berada di sisi suami sebelum insan tersayang itu meninggal dunia di kediaman mereka di sini, kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Berkongsi detik akhir, Zurina sempat membimbing suami melafazkan dua kalimah syahadah sambil merelakan pemergiannya.

Zurina ketika ditemuramah media di Masjid As-Sobirin di Hulu Kelang, hari ini. -FOTO: NSTP

“Saya sempat ajar mengucap (dua kalimah syahadah) dan minta maaf dekat suami. Masa itu, saya cakap, kalau hendak pergi, pergilah, nanti saya menyusul. Selepas saya cakap, air mata dia kering dan perlahan-lahan mata tertutup.

“Saya gembira dan bersyukur sebab dapat bersama suami pada saat akhir, ini yang saya tidak akan lupakan. Selepas dia meninggal dunia, ramai sangat orang datang.

“Rupanya-rupanya dekat luar memang ramai orang sayang dia,” katanya ditemui di Masjid As-Sobirin ketika proses pengurusan jenazah Allahyarham Pyanhabib disempurnakan sebelum dikebumikan di sini, hari ini.

Malam tadi, pencinta puisi dikejutkan dengan berita Allahyarham Pyanhabib atau nama sebenar, Mohd Supyan Abdul Rahman meninggal dunia di kediamannya di sini, kira-kira seminggu selepas menyambut hari lahir ke-66.

Berkongsi keadaan Allahyarham Pyanhabib sebelum menghembuskan nafas terakhir, Zurina berkata, arwah tidak sakit, cuma, bengkak kaki, mata hilang penglihatan dan terjatuh dalam bilik air.

“Tiga hari sebelum suami pergi, mata dia jadi tak nampak dan jatuh bilik air, semalam. Selepas itu, dia kata hendak buang air, jadi saya nak tolong. Tetapi, dia minta saya keluar sebab mahu uruskan sendiri.

“Tetapi, apabila saya tunggu lama, suami tidak keluar. Rupa-rupanya, suami tertidur dan saya kejutkan dia. Saya tanya dia kenapa tidur dalam bilik air, dia hanya cakap hendak uruskan sendiri.

“Kemudian, anak angkat bawa suami keluar. Ketika itu, hendak masuk waktu Isyak. Semasa saya rangkul, dia memang sudah nampak lemah dan nafasnya ada bunyi,” katanya.

Zurina berkongsi arwah suaminya bersandar di bahunya sebelum menutup mata.

“Waktu itu, kepala suami atas bahu dan saya ingat dia sudah meninggal dunia. Kemudian, saya saya hubungi ambulans. Sementara tunggu sampai, mereka minta saya buat bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

“Ketika buat CPR, ada air hitam keluar dari mulutnya. Saya terus bersihkan sebab takut dia tersedak selepas buat CPR,” katanya.

Sementara itu, anak sulung mereka, Najihah terkejut dengan pemergian bapanya itu.

Najihah memberitahu, dia mendapat panggilan daripada ibu yang meminta pulang ketika berada di rumahnya di Negeri Sembilan.

“Sebagai anak saya sangat terkejut. Sudah tentu apabila dapat tahu ayah sudah meninggal dunia, saya menangis. Waktu dapat panggilan telefon saya sedang makan malam di rumah… Saya terus berhenti makan.

“Ibu minta untuk balik tanpa beri penjelasan apa-apa. Jadi, saya terus bergegas pulang,” katanya.

Najihah berkata, ibu ada membawa arwah bapanya ke klinik bagi membuat pemeriksaan kesihatan selepas mengalami bengkak pada kaki, perut kembung dan batuk.

“Siang semalam (Selasa) ibu beritahu dia bawa ayah pergi klinik sebab kaki dia bengkak, perut kembung dan batuk sedikit. Tetapi doktor mahu rujuk ke hospital, cuma, minta tengok dahulu dalam dua atau tiga hari bagaimana keadaan ayah.

“Selepas Maghrib, ayah dilihat semakin lemah. Ayah sempat buat panggilan video dengan saya dan cucunya. Ibu beritahu mata ayah sudah tak nampak. Ketika itu, ayah sudah lemah sangat,” katanya.

Jenazah Allahyarham Pyanhabib dimandikan di Masjid As-Sobirin di sini, pada jam 9 pagi tadi dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 di sini, pada jam 11 pagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini