comscore
Tumpuan :
Nasional

Tabiat tak lupus sampah dengan betul penyumbang utama tempat pembiakan Aedes

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tabiat segelintir masyarakat yang tidak melupuskan sampah di tempat pelupusan sampah antara penyumbang utama kepada tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan memaklumkan, perbuatan tidak menitikberatkan kebersihan persekitaran itu seterusnya menyebabkan peningkatan kes denggi.

“Justeru, masyarakat disarankan untuk terus melakukan aktiviti ‘cari dan musnah’ tempat pembiakan Aedes secara konsisten di kawasan persekitaran kediaman masing-masing sekurang-kurangnya 10 minit sekali seminggu,” katanya.

Beliau berkata, peranan membendung kes denggi bukan hanya terletak kepada Kementerian Kesihatan (KKM) semata-mata, tetapi perlu melibatkan kerjasama daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi, syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan
masyarakat awam termasuk sukarelawan MyCHAMPION COMBI.

Jelasnya, penglibatan holistik dan komprehensif dapat mengurangkan penularan penyakit demam denggi ke tahap yang minimum sehingga penyakit denggi bukan lagi ancaman kepada kesejahteraan rakyat.

Mengulas mengenai situasi semasa demam denggi di negara ini pada Minggu Epidemiologi ke-52 (ME 52/2023) iaitu minggu epidemiologi terakhir tahun lalu, sebanyak 2,715 kes demam denggi dilaporkan.

Angka itu berkurangan sebanyak 198 kes (6.8 peratus) berbanding 2,913 kes pada minggu sebelumnya.

Empat kematian akibat komplikasi demam denggi turut direkodkan.

“Jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sepanjang 2023 adalah sebanyak 123,133 kes meningkat sebanyak 57,031 kes (86.3 peratus) berbanding 66,102 kes bagi 2022.

“Manakala jumlah kumulatif kematian akibat komplikasi denggi yang dilaporkan adalah 100 kematian berbanding 56 bagi tempoh sama pada 2022, iaitu peningkatan 44 kematian (78.6 peratus),” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Dr Muhammad Radzi, sebanyak 134 lokaliti hotspot dilaporkan pada ME 52/2023 berbanding 131 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Ia merangkumi 104 lokaliti di Selangor, sembilan lokaliti di Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya (8), Negeri Sembilan (7), dua lokaliti di Pulau Pinang dan Sabah serta masing-masing satu lokaliti di Kedah dan Sarawak.

Selain itu, survelan chikungunya merekodkan sebanyak satu kes pada minggu berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kes penyakit tersebut bagi tahun lalu adalah 197 kes berbanding 814 kes pada tahun sebelumnya.

Bagi survelan zika pula, sebanyak 3,939 sampel darah dan 445 sampel urin telah dijalankan saringan zika sepanjang tahun lalu dengan hasil kesemuanya adalah negatif.

“Pihak KKM merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha mengawal jangkitan denggi.

“Kerjasama ini perlu diteruskan dan dipertingkatkan memandangkan jangkaan berlaku peningkatan kes pada 2024. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” katanya.

Loading...
Terkini