comscore
Tumpuan :
Nasional

Tahanan lari: Sidang media khas KP Imigresen petang ini

 

Anggota polis sedang membuat sekatan jalanraya di Jalan Tapah – Cameron Highlands berhampiran Plaza Tol Tapah.- Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh, akan mengadakan Sidang Media Khas berhubung tahanan lari dari Depot Imigresen Bidor, Perak, pada jam 4.30 petang ini.

Sidang Media Khas itu akan diadakan di Jabatan Imigresen, Putrajaya.

Sebelum ini, JIM dengan kerjasama beberapa agensi lain sedang giat menjalankan operasi bagi menangkap semula 130 tahanan yang melarikan diri dari Depot Imigresen Bidor, Perak pada jam 9.50 malam, semalam.

Katanya, keseluruhan tahanan yang melarikan diri adalah 131 orang, namun seorang daripadanya telah disahkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Susulan itu, katanya, seramai 275 anggota pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah dikerahkan untuk mengesan tahanan tersebut.

Katanya, 100 anggota yang terdiri daripada JIM dan PGA telah ditambah untuk meneruskan misi pengesanan tahanan.

“Pihak kami memohon jasa baik orang awam yang mempunyai maklumat terhadap tahanan yang melarikan diri ini untuk menghubungi Bilik Gerakan Depot Imigresen Bidor (05-4348736), Balai Polis Bidor (05-4342222) atau Balai Polis Tapah (05-4011222),” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, Op Tutup dilancarkan di beberapa kawasan termasuk daerah Muallim bagi mengesan tahanan terbabit.

Difahamkan kesemua yang melarikan diri adalah etnik Rohingya dengan seorang dilaporkan maut dalam kemalangan di KM335 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bidor.

Loading...
Terkini