comscore
Tumpuan :
Nasional

Tak usah fikir panjang, daftar sahaja PLKN – Alif Satar

Alif Satar yang juga bekas Ikon PLKN pernah menyertai program itu ketika berusia 18 tahun.

PETALING JAYA: “Apabila pendaftaran dibuka, tidak perlu fikir panjang… Daftar sahaja,” kata artis versatil, Alif Satar.

Alif yang juga bekas Ikon PLKN dan pernah menyertai program itu ketika berusia 18 tahun, mengaku PLKN bermanfaat memupuk semangat patriotik dalam kalangan belia.

“Dengan adanya PLKN, ia mampu membantu mereka menjalani hidup yang lebih sihat dan berdisiplin,” katanya pada sidang media drama bersiri Bukan Sekadar Lafaz di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, semalam.

Tambah Alif yang juga bekas pengacara Muzik-Muzik ini, PLKN bukan sahaja diperkenalkan untuk memperkasa diri, malah medan mengumpul ramai kenalan dari seluruh negara.

“Mereka yang baru habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hendak mengenal dunia, program ini amat sesuai untuk anda.

“Di situlah saya berjumpa ramai peserta dari pelbagai latar belakang yang akhirnya kekal menjadi sahabat hingga hari ini.

“Jika saya ke Sabah, misalnya, mereka ingat saya dan bagi buah tangan,” katanya.

Alif menggalakkan individu berkelayakan supaya tidak melepaskan peluang menyertai PLKN.

Baru-baru ini, media melaporkan pelaksanaan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018 akan membabitkan dua fasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, Fasa 1 membabitkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap akan diperkasakan pada peringkat itu.

Manakala pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan untuk menjalani latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), akan menyertai Fasa 2 di kem latihan tentera wataniah sedia ada.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini