comscore
Tumpuan :
Nasional

Tambah baik kualiti perkhidmatan internet, titah Raja Perlis


Oleh: Amira Suraini Che Mohamad

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah agar kualiti perkhidmatan internet terutama di kawasan pelancongan dan perniagaan perlu sentiasa berada pada tahap memuaskan.

Baginda tertitah, penambahbaikan itu penting kepada perubahan ekonomi dan gaya hidup rakyat Perlis.

“Selari dengan hasrat Kerajaan Negeri ke arah perkhidmatan digital, Beta menghargai kerjasama yang diberikan pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia dan Digital Nasional Berhad dalam menyediakan liputan jalur lebar melalui program JENDELA dan rangkaian perkhidmatan 5G di Perlis.

“Beta percaya ianya akan membawa perubahan kepada ekonomi dan gaya hidup rakyat negeri Perlis.

“Namun Beta memohon agar perhatian diberikan untuk menambahbaik kualiti perkhidmatannya terutama di kawasan yang menjadi tumpuan pelancongan dan kawasan peniaga,”  titah baginda yang dibacakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada istiadat Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke 15, di Kompleks DUN Kangar, hari ini.

Sejajar dengan itu, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan harapan agar Jabatan dan Agensi Kerajaan dapat mentransformasikan perkhidmatan mereka ke arah pendigitalan.

“Perubahan harus dibuat selari dengan peredaran semasa.

“Perkhidmatan tanpa tunai di Jabatan serta Agensi Kerajaan harus diperluaskan supaya dapat meningkatkan mutu perkhidmatan, memudahkan urusan pelanggan serta mengurangkan ketirisan,” titah baginda.

Justeru, setiap perancangan dan pembangunan digital yang dilaksanakan perlu dilaporkan kepada Majlis Digital Negeri Perlis.

Titah baginda lagi, melalui pelaporan itu Majlis Digital dapat memantau dan melihat kemajuan pelaksanaan projek berkenaan.

“Semoga semua usaha ini mampu merealisasikan perancangan yang terkandung dalam Pelan Digital Perlis 2021-2025.

Loading...
Terkini