comscore
Tumpuan :
Nasional

Terengganu mahu guna segala ruang, pendekatan tuntut royalti minyak

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar ketika sidang media selepas istiadat pembukaan penggal kedua dewan undangan negeri (DUN) Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. – FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan menggunakan segala ruang dan pendekatan bagi mendapatkan baki wang royalti minyak atau wang ehsan yang sepatutnya diberikan kepada rakyat Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya akan sentiasa mengadakan pertemuan dan perbincangan dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Kita optimis (dan) kita cuba dulu menggunakan apa juga ruang yang ada dan daripada situ kita akan tengok bagaimana respon daripada kerajaan pusat.”

“Insya-Allah, kita akan tangani secara bersama oleh seluruh anggota pentabdiran,” katanya ketika ditemui selepas istiadat pembukaan penggal kedua dewan undangan negeri (DUN) Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata tiada perbincangan terbaharu diadakan selepas kerajaan pusat menyalurkan wang ehsan sebanyak RM172.3 juta kepada kerajaan Terengganu baru-baru ini bagi membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri.

Katanya, kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Terengganu yang dijadualkan pada 9 Mei ini akan digunakan untuk berbincang isu berkenaan.

“Insya-Allah, Perdana Menteri akan datang ke negeri Terengganu untuk berhari raya pada 9 Mei ini dan di kesempatan itu, Insya-Allah, kita akan berbincang perkara ini,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan negeri Terengganu hanya menerima RM510 juta daripada jumlah sebenar RM1.5 bilion wang royalti yang menjadi hak rakyat negeri Terengganu setakat Oktober tahun lalu.

Menurut kerajaan pusat pula, pada 8 April lalu, pihaknya sudah menyalurkan wang ehsan sebanyak RM172.3 juta kepada Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan.

Ia bertujuan membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri selain bayaran RM103.1 juta untuk obligasi kerajaan Terengganu kepada kontraktornya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Kerajaan MADANI komited memastikan wang ehsan dikhususkan untuk manfaat Terengganu dan Kelantan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini