comscore
Tumpuan :
Nasional

Terpedaya cinta juruterbang, wanita rugi RM148,200

SETIU: Seorang wanita kerugian RM148,200 akibat terpedaya dengan penipuan ‘love scam’ seorang lelaki menyamar sebagai seorang juruterbang.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mangsa seorang wanita berusia 51 tahun mengenali lelaki berkenaan menerusi aplikasi Facebook.

“Berdasarkan keterangan pengadu melayari aplikasi Facebook dan terdapat satu mesej pada ruangan Messenger yang dihubungi seorang individu dengan menggunakan profil facebook bernama Azli Ahmad pada awal Jun 2024.

“Lelaki berkenaan menggunakan gambar seorang juruterbang dan pengadu berhubung melalui talian whatsapp yang diberikan untuk berkenalan lebih rapat.

“Setelah saling mengenali suspek menawarkan untuk menghantar bungkusan hadiah seperti beg tangan, jam tangan, kasut dan duit bernilai USD 10,000 untuk disedekahkan kepada anak yatim,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Zain berkata, bungkusan dihantar itu sebagai tanda persahabatan antara mereka.

“Pada 14 Jun 2024, mangsa dihubungi oleh satu individu mengaku sebagai ejen penghantaran yang menyatakan terdapat masalah dalam bungkusan yang dihantar kepada mangsa.

‘Ejen itu meminta mangsa membuat bayaran sebagai bayaran duti import dan kos penghantaran bagi melepaskan bungkusan yang dihantar kepada mangsa,” katanya.

Katanya, bermula 14 Jun 2024 sehingga 22 Jun 2024 mangsa membuat transaksi bayaran sebanyak 23 kali transaksi kepada akaun berlainan dengan jumlah Ringgit Malaysia adalah RM 148,200.

“Pengadu juga diugut untuk membuat bayaran yang mana individu berkenaan menyatakan mangsa ada terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah lain dan diambil tindakan sekiranya tidak membuat bayaran.

“Oleh kerana berasa takut mangsa mengikut segala perdayaan yang dilakukan terhadap mangsa sehingga mengalami kerugian,” katanya.

Beliau berkata, laporan polis dibuat pada 22 Jun 2024 dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Tindakan mengesan dan menangkap suspek giat diteruskan dan pihak polis masih mengumpul bukti-bukti keterangan bagi tujuan pendakwaan.

“Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dengan sebarang panggilan telefon dan mesej yang diterima daripada individu tidak dikenali di atas mana-mana platform media sosial bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini