comscore
Tumpuan :
Nasional

Tertekan pedal minyak, kereta dipandu suri rumah rempuh tiang hospital

JOHOR BAHRU: Gara-gara tertekan pedal minyak, kereta dipandu seorang suri rumah merempuh tiang di pintu masuk utama Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.25 pagi tadi, kereta Proton Saga berwarna putih yang dipandu wanita tempatan berusia 46 tahun itu pada mulanya melalui kawasan tempat menurunkan penumpang di perkarangan hospital.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila wanita itu tertekan pedal minyak ketika ingin membuat pusingan.

“Akibat kejadian itu, kereta berkenaan hilang kawalan dan terbabas melanggar satu tiang bangunan HSA. “Wanita itu datang ke hospital untuk melawat anaknya yang sedang ditahan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Raub, dalam kemalangan terbabit, kenderaan wanita itu rosak di bahagian bumper dan lampu hadapan sebelah kanan, manakala mangsa tidak cedera.

Pada masa sama, Raub berkata, semakan ke atas lesen memandu suri rumah itu mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“Saman kerana memandu tanpa lesen hingga menyebabkan kemalangan telah dikeluarkan terhadap wanita itu.

“Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59,” katanya.

Loading...
Terkini