comscore
Tumpuan :
Nasional

TH Komited Teruskan Bantuan Kewangan Haji Tahun Depan

FOTO; NSTP

KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) akan meneruskan bantuan kewangan haji secara bersasar tahun depan bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang paling memerlukan.

Dalam satu kenyataan, agensi itu memaklumkan langkah itu diambil biarpun kos haji Muassasah dijangka terus meningkat kepada RM31,000 seorang pada tahun depan, berbanding RM28,632, tahun ini.

“Bagi persiapan musim haji tahun depan, TH sedang membuat penilaian dan penelitian atas semua aspek operasi yang merangkumi keperluan jemaah haji sebelum berlepas, kebajikan semasa di Tanah Suci sehinggalah mereka kembali semula ke tanah air,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dipetik sebagai berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan TH untuk memberikan perkhidmatan terbaik dengan kos yang berpatutan kepada jemaah haji Malaysia.

Bagi perjalanan haji tahun ini, beliau berkata, TH berjaya mengurus perjalanan kesemua jemaah haji dengan baik.

“Tahun ini, saya sempat meninjau persediaan haji TH di Kompleks Haji Sepang dan kemudian melihat sendiri bagaimana petugas TH mengurus dan menyantuni jemaah haji yang mempunyai pelbagai kerenah ketika di tanah suci, terutama ketika Masya’ir,” katanya.
Sementara itu, TH memaklumkan kejayaan operasi haji musim ini adalah hasil sokongan penuh diberikan pelbagai pihak terutama agensi kerajaan dan swasta.

“TH sudah menerima sumbangan bernilai RM1.8 juta daripada 12 organisasi melalui program Sahabat Korporat TH yang turut membantu melancarkan urusan ibadah jemaah haji Malaysia.

“Sumbangan itu adalah dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas jemaah haji seperti beg beroda, beg sandang, tikar jemaah, sejadah, bahan bacaan seperti buku doa, peralatan kesihatan dan kelengkapan harian,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini