comscore
Tumpuan :
Nasional

TH nafi tidak bertindak isu pendingin hawa, ruang sempit di Mina 

Jemaah Malaysia di khemah Mina. – Foto ihsan TH

MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) menjelaskan masalah ruang sesak dan sempit dalam khemah di Mina bukan hanya dihadapi jemaah Malaysia tetapi juga dari semua negara sejak sekian lama.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, ia bukan situasi yang baru timbul, lebih-lebih lagi dengan kuota penuh dan apabila ada kuota tambahan.

Katanya, ruang serta saiz khemah Mina adalah di luar kawalan TH kerana kemudahan di Arafah dan Mina disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk semua negara.

Malah menurutnya, perihal ruang sempit khemah itu sudah dimaklumkan kepada jemaah ketika kursus haji di tanah air dan taklimat masyair oleh pihak pengurusan maktab TH, termasuk menekankan jemaah tidak dapat tidur secara terlentang di situ disebabkan keadaan berkenaan.

“Sempadan Arafah serta Mina adalah ditetapkan oleh hukum dan tidak berubah dari dahulu walaupun jemaah haji semakin meningkat setiap tahun seiring pertambahan rakyat di sesebuah negara,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman (kiri) pada sidang media di Makkah, malam tadi. – Foto ihsan TH

Berikutan kekangan itu katanya, TH sentiasa menasihati jemaah supaya hanya membawa satu beg beroda, bagi mengelakkan ruang terhad menjadi semakin sempit, namun hasil pemerhatian ada yang membawa lebih daripada satu beg ke khemah di Mina.

Jemaah juga telah diperjelas situasi ‘satu tilam satu jemaah’ hanya terpakai di khemah Arafah tetapi di Mina, tilam adalah sebagai alas dan bukan tanda ruang satu tilam untuk seorang jemaah.

Pengurusan maktab TH katanya, telah mengambil inisiatif awal untuk menangani isu ruang sempit di khemah Mina yang diperkatakan segelintir pihak melalui portal dan media sosial.

“Antara inisiatif awal diambil ialah pihak pengurusan maktab memberi sebahagian ruang diperuntukkan bagi pejabat dan penginapan petugas TH, termasuk ruang petugas muassasah, kepada jemaah haji bagi meningkatkan saiz ruang sedia ada.

“Namun, ada sebahagian jemaah tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana ini. Pihak TH membenarkan jemaah berulang alik dari Makkah ke Mina jika ada permintaan dan ia adalah atas kesanggupan dan daya usaha jemaah itu sendiri.

“TH juga meningkatkan nisbah Nafar Awal yang dahulunya hanya 10 peratus kepada 20 peratus dan diteruskan hingga 50 peratus pada tahun ini bagi mengatasi kesesakan di khemah Mina,” katanya.

Syed Hamadah berkata, ruang terhad di khemah Mina turut diperuntukkan dan mengambil kira keperluan bagi bilik air, dapur, stor makanan dan pejabat petugas muassasah yang akan memberi perkhidmatan kepada jemaah.

​​​​​​​Mengenai isu pendingin hawa yang tidak berfungsi baik di sebilangan khemah jemaah Malaysia, pihak pengurusan maktab jelas beliau, telah menghubungi pihak yang bertanggungjawab supaya ia dibaiki segera.

“Pihak TH bersyukur tiada sebarang musibah berlaku dan berdoa agar semua urusan jemaah Malaysia dipermudahkan serta dapat menyempurnakan ibadah haji mereka dan dikurniakan haji mabrur, insya-Allah,” katanya.

Beliau menasihati mana-mana pihak, terutama portal supaya mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan TH sebelum mengeluarkan berita yang berkemungkinan boleh mendatangkan kegusaran dan keraguan rakyat Malaysia.

Loading...
Terkini