comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tiada kenaikan harga ayam dikenakan peniaga

 

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Tiada kenaikan harga dikenakan peniaga di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada hari pertama pengapungan harga ayam selepas pemberian subsidi dan harga kawalan bahan mentah itu ditamatkan hari ini.

Kebanyakan penjual juga masih mengenakan harga sama mengikut harga siling ditetapkan sebelum ini iaitu RM9.40 sen sekilogram.

Difahamkan penurunan harga pasaran ayam dunia, selain bekalan mencukupi antara faktor mengapa harga ayam masih kekal.

Tinjauan di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail ibu negara menyaksikan semua peniaga masih menjual ayam dengan harga RM9.40 sekilogram.

Khairul Zafri Dahrus yang sudah 15 tahun menjual ayam berkata, untuk hari ini beliau membeli 100 ekor ayam segar dengan harga RM8.00 sekilogram daripada pemborong.

“Saya biasa ambil dari pembekal di Sungai Buloh, bela di Pulau Pinang. Buat masa ni supplier cakap bekalan mencukupi so harga dia maintainkanlah. Supplier pun dia tak naikkan harga lagi so kita stay kan je lah,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Burhan Shafie berpendapat harga yang dikenakan ketika ini realistik berdasarkan permintaan dan keadaan semasa pasaran.

“Harga kalau harga kilang sebenarnya turun tapi kita kasi maintain lah takut besok-besok naik jugakkan jadi harga macamni oklah saya rasa macam ok takde masalah tak tinggi tak mahal”.

Keadaan di Pasar Borong Selayang, Selangor juga tiada bezanya apabila kebanyakan peniaga mengambil pendekatan mengenakan harga sama.

Bagaimanapun ada peniaga menawarkan harga lebih rendah mengikut kuantiti yang dibeli pengguna.

Bagi Damiri Bukri, beliau selesa menggunakan pendekatan sedemikian.

“Orang ambil banyak kita turunkan lah bagi kurang kita bagi kurang lagi .Dalam 10 ekor tu kita bagi  RM 9 macamtu lah”.

Sementara itu, tinjauan di sebuah pasar raya di Subang Jaya mendapati, ayam dijual pada harga RM7.99 sen sekilogram.

Pengerusi bersama Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH),  Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, berdasarkan maklumat diterimanya, kebanyakan pasar raya lain turut mengenakan harga sama.

“Pada masa sekarang tiada sebab sebetulnya harga ayam tu kena naik, dia turun minggu ni memang turun banyak sangat tetapi kalau tengok historically harga anak ayam tu RM 6 atau RM 6.50 kalau kita ambik RM 6 atau RM 6.50 tu tak patut harga jualan tu lebih daripada RM 9.40 itu kiraan kita melainkan kalau anak ayam tu dah jadi RM 7 ke 7.50”, katanya.

Malah beliau juga yakin, pengapungan harga yang dilaksanakan akan dapat memperkasakan lagi sektor penternakan ayam negara.

Beliau juga memberi jaminan bekalan ayam ketika ini mencukupi bagi menampung permintaan pembeli.

Khairul Anuar Abdul Majid yang juga pembeli berharap harga berpatutan sebegitu perlu dikekalkan untuk kepentingan pengguna.

“Saya tengok harga tiada masalah lagi so saya mengharapkan kalau kata lepas ni tiada subsidi harga ayam tetap masih orang kata org B40, T20 tiada isu untuk membeli”.

Pendapat sama turut disuarakan, Minah Mat Sulaiman.

“Kalau boleh maintain je harga tak nak naik ke naik lagi kan kasihan la orang-orang susah kan, kalau harga ayam naik saya pun tiada pilihan terpaksa beli juga sebab anak-anak suka makan ayam”.

Sekiranya terdapat peniaga yang menaikkan harga secara mendadak selepas pengapungan harga ayam dilaksanakan pengguna boleh membuat aduan ataupun laporan kepada agensi yang terlibat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi tindakan lanjut.

Pengumuman penamatan subsidi harga ayam dimaklumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu Isnin lalu.

Rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini