comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada kompromi, hukuman setimpal terhadap pegawai salah laku integriti – JPN

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku integriti kakitangannya susulan 13 aduan yang diterima Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) membabitkan jabatan itu sepanjang tahun ini.

Dalam kenyataan hari ini, JPN memaklumkan, tindakan serta hukuman yang berkaitan dan setimpal akan dikenakan sekiranya siasatan dijalankan membuktikan pegawai terbabit didapati bersalah.

“JPN sentiasa serius dan komited memastikan tiada pelanggaran integriti atau seumpamanya dengan melaksanakan penambahbaikan prosedur dan proses kerja di jabatan ini.

“Malah pelbagai program pengukuhan integriti kakitangan turut dijalankan secara berterusan sebagai usaha tidak berbelah bahagi jabatan ini bagi memastikan tiada sebarang ruang kesalahan berkaitan integriti yang berlaku,” menurut kenyataan itu.

JPN berkata, pihaknya sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak EAIC bagi menyelesaikan aduan yang diterima oleh suruhanjaya berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan, EAIC menerima 176 aduan berkaitan salah laku tahun ini dengan kebanyakan melibatkan Jabatan Imigresen (JIM) iaitu 38 kes, diikuti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 21 kes manakala 13 aduan mengenai JPN.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, antara aduan utama dikenal pasti ialah berkaitan aduan atau laporan yang tidak diambil tindakan sewajarnya hingga menyebabkan kekecewaan kepada pengadu iaitu 59 aduan, selain aduan agensi tidak mengikut prosedur operasi standard (37), salah guna kuasa (24) serta rasuah (19).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini