comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada sekatan pembelian minyak masak paket untuk warga asing

 

Oleh Nurul Amalina Zainudin

PELABUHAN KLANG: Tiada sekatan atau larangan kepada warga asing untuk membeli minyak masak paket di kedai runcit, sebaliknya mereka turut tertakluk kepada had pembelian sama seperti rakyat Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagaimanapun kaedah jangka panjang sedang dikaji bagi memastikan subsidi minyak peket dinikmati rakyat negara ini sahaja.

Ujarnya pada ketika ini warga asing masih dibenarkan membeli minyak masak paket bersubsidi, namun menerima cadangan supaya larangan tersebut dikenakan.

“Cuma di pasar raya kita sudah sebut untuk setiap pembelian itu kita kawal had pembelian tiga paket tetapi untuk larangan kepada warga asing itu setakat ini tidak dibuat, ada cadangan dan syor tertentu tetapi apa mekanisme untuk kita pantau, kita larang, larang boleh tetapi peruncit itu mesti bersedia untuk melaksanakan, atau orang nampak ok, ambil gambar dan sebagainya tetapi apa mekanisme nya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penularan pelbagai video warga asing membeli barangan itu yang sepatutnya dinikmati rakyat tempatan.

Katanya lagi setakat ini, pihaknya mendapati kos pelaksanaan yang tidak efektif untuk membangunkan sistem khusus bagi pembelian minyak masak paket bersubsidi.

“Warga asing ini pun kalau di Malaysia macam-macam jenisnya, ada yang kita boleh identify secara fizikal, ada yang tidak, itu yang kita kena pertimbangkan bagaimana kaedahnya, it’s not a solution secara isolated, kita memikirkan lebih baik kita melihat secara keseluruhan bagaimana way forward untuk pelaksanaan minyak masak paket ini.”

Dalam pada itu, Armizan turut memaklumkan KPDN sedang mengaudit penjualan bekalan itu bermula daripada peringkat pengilang dan pembungkusan semula bagi mengesan sebarang ketirisan dan penyelewengan terhadap pemberian subsidinya.

Sehingga kini proses audit sudah pun selesai di Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Johor, malah beliau menegaskan untuk turun sendiri memantau dan melihat pelaksanaannya dekat premis-premis terlibat di negeri ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini