comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga juta kenderaan dijangka di KLK, LPT1 sempena Aidilfitri


KUANTAN: Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad menjangkakan lebih tiga juta kenderaan di KLK dan LPT1 sempena Aidilfitri.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata pihaknya menjangkakan jumlah trafik ke Pantai Timur akan mengalami peningkatan bermula dari 19 April hingga 21 April ini.

Katanya, manakala kesesakan trafik menghala ke Kuala Lumpur pula dijangka bermula dari 24 April dan 30 April sehingga 1 Mei ini.

“Peningkatan kenderaan itu memandangkan cuti Aidilfitri kali ini bersambung dengan cuti persekolahan dan cuti umum Hari Buruh.

“Pengguna lebuh raya sudah pasti akan mengambil peluang cuti yang panjang ini untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga di kampung dan menziarahi sahabat handai.

“Kami berharap agar pengguna lebuh raya merancang perjalanan di musim perayaan dan percutian ini, memandangkan jangkaan aliran trafik meningkat semasa musim perayaan kepada lebih tiga juta kenderaan di KLK dan LPT1.

“Oleh itu, kami menerbitkan Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) dan akan membuat edaran TTA di Plaza Tol Gombak, Karak dan Bentong pada 16 April ini.

“Selain itu membuat hantaran di laman sosial ANIH BERHAD sebagai rujukan pengguna lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ANIH Berhad komited dalam mempertingkatkan usaha mengurangkan kesesakan pada musim perayaan ini, termasuk dengan menambah sehingga 30 peratus bilangan kakitangan sokongan di plaza tol.

Katanya, lebih 140 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di beberapa kawasan strategik di sepanjang lebuh raya.

“Sebelum memulakan perjalanan, ingatan penting untuk pengguna agar memastikan baki e-Wallet dan kad Touch N’Go mencukupi bagimengelakkan sebarang masalah berkaitan baki tidak mencukupi ketika di plaza tol,” katanya.

Bagi keselesaan dan keselamatan, beliau menasihati pemandu memandu secara berhemah dan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau hentian sebelah sekiranya perlu.

Katanya, sebaiknya mematuhi papan tanda jalan dan had laju yang ditetapkan serta arahan petugas lebuh raya demi keselamatan semua.

“Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, pengguna disarankan untuk mengikuti saluran rasmi media sosial ANIH Berhad di Facebook (@Lebuhraya Pantai Timur), Twitter, (@LPTTrafik) Lembaga Lebuhraya Malaysia di Twitter (@llmtrafik) dan Facebook (@Lembaga Lebuhraya Malaysia) . Jika berlaku kecemasan, sila hubungi LPT – Line di 1-700-818-700 atau LLM di 1800-88-7752,” katanya.

Loading...
Terkini