comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam dibaca kali pertama di Dewan Rakyat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Tiga rang undang-undang (RUU) berkaitan hal ehwal Islam dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Ia adalah RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika membentangkan semua RUU itu berkata, bacaan kali kedua dan ketiga juga akan dibuat pada persidangan kali ini.

RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 bertujuan mengadakan peruntukan mengenai mufti, penentuan mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara berkaitan.

Bahagian II RUU berkenaan mencadangkan peruntukan berhubung mufti dan timbalannya, manakala Bahagian III berkaitan penubuhan serta fungsi Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Bahagian IV pula berkaitan peruntukan berhubung pengeluaran fatwa, diikuti Bahagian V mengenai penentuan arah kiblat, kesalahan dan penalti, Bahagian VI memperkatakan penubuhan serta fungsi Jawatankuasa Falak Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Bahagian VII RUU berkenaan membabitkan penubuhan dan fungsi Jawatankuasa Rukyah Hilal Wilayah-Wilayah Persekutuan, diikuti Bahagian VIII berkaitan penubuhan dan fungsi Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan dan perunding akidah serta Bahagian IX berhubung peruntukan pelbagai.

Selain itu, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 bertujuan meminda Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 untuk memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam di kawasan berkenaan.

RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 pula bagi meminda Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini