comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga saksi beri keterangan minggu depan isu bagasi berisi wang RM500,000

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki akan tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung penemuan bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah dekat Damansara, Petaling Jaya pada 19 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata ketiga-tiga lelaki itu adalah rakan kepada seorang pengarah syarikat yang sebelum ini tampil mendakwa bagasi berkenaan adalah miliknya.

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki tempatan itu dipanggil untuk dirakam keterangan mereka dan berperanan sebagai saksi.

“Ketiga-tiga mereka adalah rakan kepada pengarah syarikat kayu balak yang sebelum ini mendakwa bagasi berisi wang tunai itu adalah miliknya. Mereka akan hadir kepada kita dan akan direkod keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk membantu siasatan,” katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, Hussein mengesahkan seorang pengarah syarikat kayu balak tampil memberi keterangan kepada polis pada 30 Mac lalu selepas mendakwa bagasi terbabit adalah kepunyaannya.

Pengarah syarikat itu mendakwa bagasi berisi wang lebih setengah juta itu diambil daripada rumah seorang rakannya yang ingin memulangkan wang dipinjamkan tahun lalu untuk tujuan pelaburan.

Bagaimanapun, individu terbabit tidak membawa sebarang rekod dan bukti yang mengatakan wang terbabit adalah milik syarikatnya ketika keterangannya direkodkan.

Terdahulu, Hussein pada satu sidang media pada 20 Mac lalu, memaklumkan seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya menemui bagasi terbabit di tempat letak kenderaan premis terbabit.

Pihak keselamatan pusat beli-belah itu kemudian membuat laporan polis berhubung penemuan itu di IPD Petaling Jaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini