comscore
Tumpuan :
Nasional

Timbalan Ketua Pengarah berulang alik naik bas dari Ipoh ke KL setiap hari selama 23 tahun

 Datuk Sr Amran Mohd Majid (kiri) bersama kakitangan sepejabat yang meraikan persaraannya di dalam bas ekspres Plusliner di Kementerian Kerja Raya di Kuala Lumpur.-Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Berbekalkan bantal leher, jaket dan beg berisi buku, perjalanan sejauh lebih 200 kilometer (KM) dari Ipoh ke Kuala Lumpur ditempuh selama 23 tahun.

Tiada istilah penat, jauh mahupun malu wujud dalam kamus hidup Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), Datuk Sr Amran Mohd Majid, yang perlu menaiki bas ekspres setiap hari untuk sampai ke pejabatnya di Jalan Sultan Salahuddin, di sini.

Malah, ketika ramai penduduk Taman Muhibbah, Ipoh masih lena dibuai mimpi, beliau sudah bangun dari tidur seawal jam 3 pagi untuk bersiap dan menuju ke Terminal Amanjaya, Meru Raya.

Menjadi rutin kelazimannya untuk berwuduk lebih awal bagi membolehkan beliau mengejarkan solat subuh di dalam bas, memandangkan perjalanan yang bakal ditempuhi, memakan masa lebih dua jam.

Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), Datuk Sr Amran Mohd Majid ketika ditemui di Kementerian Kerja Raya di Kuala Lumpur.- Foto: NSTP

Kekerapannya berulang alik antara Ipoh dan Kuala Lumpur sejak tahun 2001 menyebabkan beliau diberi gelaran “KP” (Ketua Penumpang) oleh penumpang-penumpang bas ekspres lain.

Katanya, beliau berulang alik sejak 23 tahun lalu kerana isterinya mengajar di Ipoh dan kedua anak perempuannya masih bersekolah.

Biarpun terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang ringgit setiap hari, beliau bersyukur masih diberikan peluang untuk berkhidmat dan pada masa sama tidak perlu berjauhan dengan keluarga.

“Pada awalnya, saya perlu menyesuaikan diri dengan rutin ini. Namun bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Lama-lama dah biasa dan ramai kawan-kawan, jadi kita kumpul jadi geng bas, itu yang membuatkan perjalanan menjadi lebih seronok…Susah senang, kami sama-sama,” katanya.

Datuk Sr Amran Mohd Majid melakukan lambaian terakhir kepada kakitangan sepejabat yang meraikan majlis persaraannya di Kementerian Kerja Raya di Kuala Lumpur.-Foto: NSTP

Amran berkata beliau akan tiba di KL Sentral, sekitar jam 6.45 pagi sebelum bergerak menuju ke pejabat pada 7.15 pagi.

Katanya, sepanjang perjalanan, beliau akan menghabiskan masa dengan membaca kajian kes undang-undang atau menyiapkan buku yang ditulisnya.

“Sepanjang 23 tahun berulang alik, banyak yang saya berjaya siapkan di dalam bas, antaranya mengulang kaji bagi pengajian sarjana dan menyiapkan tiga buah buku.”

“Selain itu, masa yang ada sepanjang perjalanan, saya manfaatkan sepenuhnya dengan membaca Al-Quran, meneliti kajian kes undang-undang atau membaca laporan berkaitan kerja,” katanya.

Tambahnya, pengalaman menaiki bas setiap hari, menjadikan beliau seorang yang berpijak di bumi nyata dan sentiasa merendah diri.

“Sebab kawan-kawan kita adalah pemandu bas, penjual tiket di kaunter dan kakitangan daripada pelbagai organisasi, malah kami semua sangat rapat.”

“Kita anggap mereka seperti keluarga. Itu yang kami seronok naik bas Plusliner. Macam-macam Plusliner tolong kita, sampai kami ada kumpulan Whatsapp yang membolehkan kami berkomunikasi dengan pemandu dan rakan-rakan lain,” katanya.

Tambahnya, walaupun tiba di rumah kira-kira jam 8.30 malam, beliau gembira kerana masih dapat meluangkan masa dan berjumpa dengan isteri dan anak-anaknya.

“Mungkin masa yang ada tu sedikit, namun masa yang sedikit bersama mereka, menjadikan ia sangat berharga,” katanya.

Bagaimanapun, aturan kehidupan menetapkan bahawa setiap yang bermula pasti akan berakhir, di mana beliau bersara wajib, Khamis lalu.

Bagi menghargai KP mereka, Plusliner mengadakan sambutan kecil-kecilan bagi meraikan persaraan beliau.

Sebuah bas Plusliner dihantar untuk menjemput beliau bersama penumpang-penumpang lain di Jalan Sultan Salahuddin, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Ipoh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini