comscore
Tumpuan :
Nasional

Tindakan ke atas Telegram tidak jejas pengguna – Fahmi

SUNGAI PETANI: Sebarang bentuk tindakan yang mungkin dikenakan ke atas Telegram tidak akan terlalu menjejaskan pengguna platform terbabit.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, pihaknya sedar aplikasi itu banyak digunakan khususnya oleh komuniti tertentu seperti sekolah dan pengamal media untuk penghantaran video dan imej.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

Setakat ini, katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih meneliti tindakan ke atas Telegram yang pengurusannya sehingga kini masih tidak memberikan kerjasama dengan kerajaan bagi membincangkan isu berkaitan kandungan dan salah guna aplikasi itu.

“Kita akan pastikan sekiranya diputuskan bahawa kerjasama di pihak Telegram tidak begitu positif, maka apa-apa tindakan yang diambil tidak terlalu menjejaskan pengguna.

“Kita beri sedikit masa (kepada pengguna) supaya sekiranya perlu ada peralihan mencari medium platform yang baharu, kita akan maklumkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kota Kuala Muda, di sini hari ini.

.“Kita jangka mungkin tidak terlalu lama dari sekarang, pihak kerajaan akan buat keputusan. Kita belum secara terperinci meneliti syor daripada SKMM, tapi insya-Allah dalam masa yang tidak terlalu lama dari sekarang,” katanya.

Fahmi berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung kandungan dan salah guna aplikasi itu yang membimbangkan.

Ia, katanya, termasuk penjualan bahan pornografi, dadah dan aktiviti penipuan pelaburan yang sepatutnya dikekang, namun sehingga kini dilihat seperti tidak ada tindakan daripada pihak Telegram.

Menenai kenyataan Telegram yang dilaporkan tidak mahu mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan berkaitan politik, Fahmi berkata, pihaknya menyerahkan kepada SKMM untuk berhubung dengan pengurusan platform itu atau mengeluarkan kenyataan balas.

“Bagi saya sebagai anggota pentadbiran (kerajaan), saya melihat keseluruhan dari segi undang-undang dan dasar. Sebagai sebuah negara yang berdaulat yang ada kuasa dan hak untuk memutuskan dasar dalam negara, saya percaya undang-undang dalam negara kita mesti dihormati,” katanya.

Loading...
Terkini