comscore
Tumpuan :
Nasional

Tingkat penguatkuasaan jamin keberadaan beras – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan akan kepentingan mempertingkatkan penguatkuasaan bagi menjamin keberadaan beras di pasaran dan memastikan tiada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berlebihan.

Ia sekali gus dapat memastikan tiada pemborong atau pengilang mencampurkan kandungan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) untuk dijual dengan harga yang tinggi.

“Saya tegaskan bahawa kerajaan perlu terus memberi tumpuan penuh terhadap isu kos sara hidup yang masih membelenggu rakyat meskipun kadar inflasi semakin mereda kepada 1.5 peratus setakat Januari 2024,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat turut dihadiri oleh menteri-menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha kementerian berkaitan dan Gabenor Bank Negara, selain wakil industri, wakil pengguna, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang merupakan ahli-ahli NACCOL.

Anwar berkata bekalan dan harga BPT dalam pasaran domestik secara umumnya terkawal, namun beliau masih menerima aduan berhubung isu bekalan yang terhad.

Foto hiasan

Katanya rakyat juga terkesan dengan kenaikan BPI di pasaran global berikutan larangan eksport yang dikenakan oleh negara pengeluar beras.

“Saya tegaskan betapa campur tangan Kerajaan MADANI pada ketika ini amat kritikal dan perlu diputuskan segera bagi memastikan isu bekalan dan harga makanan ruji utama rakyat ini terus kekal stabil di pasaran,” katanya.

Katanya, beberapa wakil industri dan NGO antaranya yang mewakili pesawah dan pengilang turut menyuarakan beberapa cadangan dan pandangan berhubung situasi padi dan beras negara, khususnya bagi memastikan ketersediaan beras pada harga yang munasabah kepada rakyat.

Katanya, selepas mendengar dan mengambil kira semua pandangan, mesyuarat mengambil ketetapan agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengetuai dan menyelaras sesi libat urus secara lebih terperinci sesegera mungkin.

“Libat urus ini perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna. Saya turut mengarahkan supaya hasil libat urus ini dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat NACCOL pada 20 Mac ini sebelum diangkat untuk pertimbangan jemaah menteri,” katanya.

Anwar berkata dalam tempoh itu beliau turut mengarahkan supaya program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan lain-lain diperbanyakkan supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan harian termasuk beras pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Katanya, jadual pelaksanaan jualan-jualan murah akan dihebahkan secara kerap.

“Pada masa sama, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) juga bersetuju untuk mempertimbangkan semula penawaran harga BPI dalam pasaran domestik supaya boleh dijual pada harga lebih rendah. Ia sekali gus mewujudkan alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan beras dengan harga yang lebih berpatutan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini